Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
19.10.05

Sah! Selangor temu Perak

Oleh: Harian Metro

Sah! Juara Piala Malaysia, Selangor dan Perak, naib juara Piala FA musim ini dan bukannya Perlis, akan bertemu pada perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah sempena pembukaan Liga Super Malaysia (MSL), 3 Disember depan.

 

Pengesahan itu diumumkan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Abdulaziz, Kuantan, malam kelmarin.

 

Menurut Tengku Abdullah, segala rasa tidak puas hati yang disuarakan Persatuan Bolasepak Negeri Perlis (PFA) untuk beraksi pada perlawanan Sumbangsih itu dianggap selesai.

 

“Kita sudah memaklumkan kepada PFA dan berharap Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Presiden PFA menerima keputusan berkenaan.

 

“Sebenarnya, penentuan pasukan yang beraksi pada perlawanan Sumbangsih sudah lama ditentukan dan menjadi amalan FAM iaitu juara Piala Malaysia dan Piala FA akan bertemu pada perlawanan pembukaan liga.

 

“Tetapi, ini adalah kes pertama berlaku disebabkan Selangor menjuarai tiga piala iaitu muncul juara Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Perdana,” katanya.

 

Perlis melalui Jamil Saad membangkitkan rasa tidak puas hati itu dan berharap FAM membuat keputusan bijak kerana ketika ini ada empat liga yang dianjurkan FAM iaitu FA, Piala Malaysia, Liga Super dan Perdana.

 

Jika Perak dipilih, itu bermakna kemenangan Perlis selaku juara Liga Super rendah tarafnya.

 

Sehubungan itu, Tengku Abdullah meminta pengurusan PFA menerima hakikat bahawa Perak yang muncul naib juara Piala FA musim ini akan beraksi pada perlawanan Sumbangsih.

 

Namun, katanya, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada PFA kerana memberikan komen sewajarnya mengenai harapan mereka untuk beraksi pada perlawanan Sumbangsih selaku juara Liga Super musim ini.

 

“Dalam kes begini, mungkin FAM akan mengkaji kaedah terbaik sekiranya pada masa depan, empat kejuaraan menjadi milik satu pasukan,” katanya.