20.10.05
Satim terharu pemain setia
Pengurus Selangor, Datuk Satim Diman begitu terharu apabila pemain Gergasi Merah tetap menaruh kesetiaan tidak berbelah bagi kepada pasukan itu walaupun menerima tawaran lumayan daripada pasukan lain bagi menghadapi musim baru awal Disember depan.
Pemain skuad Merah Kuning itu menerima tawaran gaji berlipat ganda daripada yang diberikan Selangor selepas mereka memenangi tiga piala musim lalu iaitu Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Liga Perdana.
"Saya begitu kagum dengan sikap mereka yang begitu cintakan pasukan ini biarpun ditawarkan habuan yang cukup lumayan pasukan lain.
"Ini yang saya katakan cinta tidak boleh dijual beli kerana selepas kita mempamerkan prestasi begitu cemerlang musim lalu, pemain tetap mahu berbudi lagi dengan pasukan Selangor untuk menghadapi musim baru nanti," katanya kepada Arena Metro semalam.
Difahamkan terdapat beberapa pemain utama Selangor yang ditawarkan gaji sekitar RM20 000 oleh sebuah pasukan yang berusaha memantapkan barisan pemainnya bagi menjulang Piala Malaysia musim depan.
Satim berkata, sikap yang ditunjukkan pemain itu juga adalah hasil daripada disiplin tinggi yang dimiliki kerana masih percayakan pengurusan Selangor mampu membawa kejayaan kepada pasukan itu.
"Kita mempunyai misi besar musim depan iaitu mempertahankan Piala Malaysia dan memenangi kejuaraan Liga Super yang tidak pernah dimenangi sebelum itu.
"Pemain memahami misi kita dan kerana itu mereka sanggup kekal bersama pasukan ini untuk memenuhi matlamat berkenaan," katanya.
Bagi menghadapi musim baru Liga Super nanti, 99 peratus pemain Selangor dikekalkan kecuali penjaga gol simpanan, Fahmi Mat Isa dan pertahanan, Norhisham Kamaruddin yang digugurkan.
Selangor turut memperkuatkan bahagian tengah dengan mendapatkan khidmat bekas pemain Negeri Sembilan, K Rajan.
Di samping itu, Selangor turut mengekalkan trio import mereka, Bambang Pamungkas, Elie Aiboy dan Brian Fuentes.
Katanya, kelebihan Selangor mengekalkan sebahagian besar pemainnya musim depan berikutan kemampuan pengurusan pasukan itu menjaga kebajikan pemain.
"Kita mengamalka prinsip mengutamakan pemain kerana jika kita mahu aksi terbaik daripada mereka, kita juga mesti memastikan kebajikan mereka dijaga dengan baik.
"Jadi, kita berjaya menghadapi musim lalu dengan cemerlang kerana kejayaan kita memenuhi kehendak dan menyelesaikan masalah pemain sebelum mereka beraksi di atas padang," katanya.
Satim berkata, semua pemain Selangor akan menandatangani kontrak musim baru di Wisma Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), pagi ini.
"Sebelum ini, kita sudah memberi surat tawaran dan pemain akan menandatangani kontrak baru pagi esok (hari ini)," katanya.