Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
10.11.05

Abanda curi perhatian Satim

Oleh: Harian Metro

Tonggak pertahanan PSM Makasar, Herman Abanda Abanda dari Cameroon, menjadi perhatian skuad Selangor dalam usaha memantapkan bentengnya apabila memulakan aksi pembukaan tirai Liga Super menentang Perak dalam Piala Sumbangsih pada 3 Disember depan.

 

Nama Abanda Abanda mencuri perhatian pengurus pasukan, Datuk Satim Diman dan jurulatih, Dollah Salleh selepas memperagakan aksi mantap dalam Liga Indonesia musim ini.

 

Kelibat pertahanan tegap dari bumi Afrika itu juga dicadangkan permata Gergasi Merah, Bambang Pamungkas.

 

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd Amin, berkata sebelum ini Gergasi Merah cuba menyunting tonggak kebangsaan Indonesia, Charis Yulianto, tetapi kemerosotan prestasi pemain itu ketika ini membantutkan hasrat itu.

 

"Memang sebelum ini kita tertarik dengan prestasi Yulianto, tetapi mendapat laporan bahawa dia mengalami kemerosotan prestasi, kita beralih mencari pemain lain.

 

"Nama Abanda Abanda dicadangkan oleh ejen kita di Indonesia dan ia juga mendapat sokongan daripada Bambang dan kita akan mengujinya dalam perlawanan persahabatan di Sydney nanti," katanya, semalam.

 

Selain Abanda Abanda, Hamidin berkata, Selangor turut mencuba pemain Croatia tetapi pemain itu hanya akan diuji apabila skuad Selangor kembali ke tanah air pada 20 November depan.

 

Hamidin berkata, skuad Selangor akan menentang kelab Liga Perdana Vodafone Australia yang berpangkalan di Melbourne Fawkner-Whittlesea Blues, dalam perlawanan persahabatan hari ini.

 

"Selepas perlawanan ini kita akan berlepas ke Sydney untuk dua perlawanan persahabatan lagi iaitu bertemu Marconi Stallions dan Hajduk Wanderers," katanya.

 

Skuad Selangor berazam mempertahankan Piala Malaysia dan Piala FA yang dimenangi musim ini serta berusaha untuk memenangi kejuaraan Liga Super musim depan.

 

Berikutan itu, mereka mendapatkan khidmat bekas penyerang Negeri Sembilan, K Rajan dan pemain serba boleh Public Bank, Wan Rohaimi Ismail.