Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
21.11.05

Selamat pulang Gergasi Merah!

Oleh: misai117

Para pemain dan pegawai pasukan Selangor selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kira-kira jam 8.56 malam tadi dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MH122) selepas dua minggu berkelana di Australia.

 

Kira-kira jam 9.45 malam, pemain pertama yang keluar dari Balai Ketibaan Antarabangsa ialah Mohd Razman Roslan dan diikuti beberapa pemain lain iaitu D.Surendran, Fairuz Montana, Tharmini Saiban, Amri Yahyah, Jamsari Sabian, Fadhil Hashim, Nazrul Erwan serta para pemain lain.

 

Pemain terakhir yang dilihat keluar adalah dua pemain import dari Indonesia iaitu Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy kira-kira jam 10.15 malam.

 

Ketibaan para pemain ini disambut oleh beberapa orang wakil dari FAS, ahli-ahli keluarga para pemain serta beberapa peminat setia dari laman web SelangorFC.com. Turut kelihatan, beberapa pemuda Indonesia yang turut sama-sama menyambut kepulangan idola mereka, Bambang dan Elie.

 

Penjaga gol utama, Jamsari Sabian ketika ditemui berkata, cuaca di Australia agak sejuk dan beliau terpaksa mengorbankan sambutan hari raya di tanahair semata-mata untuk meningkatkan prestasi menjelang musim baru nanti. Susuk tubuh beliau yang kelihatan agak susut berbanding sebelum ini adalah disebabkan beliau begitu giat menjalani latihan selama berada di Australia.

 

Wartawan SelangorFC.com juga sempat bertemu Penolong Jurulatih Selangor, Mohd Rosedy Nadzir yang lebih dikenali sebagai 'Ody'. Menurut beliau, Selangor akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan lagi di tanahair sebelum sepak mula Liga Super pada 3 Disember depan. Jadual perlawanan-perlawanan persahabatan tersebut akan dimaklumkan dalam sehari dua lagi.

 

Sepanjang dua minggu berada di Australia, Selangor sempat mengadakan tiga perlawanan persahabatan dengan Fawkner-Whittlesea Blues (kalah 2-3), Hajduk Wanderers (menang 1-0) dan Marconi Staliions (kalah 1-4).