26.11.05
Selangor 1 MPSJ 0
Oleh: misai117
Pasukan Selangor terus meningkatkan persiapan mereka menjelang sepak mula TM Liga Malaysia 2005/06 Sabtu depan dengan mengadakan perlawanan pra-musim yang ke-5 menentang Majis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) malam tadi yang berkesudahan pasukan Selangor menang 1-0.
Tanpa dua bintang import dari Indonesia, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy yang dipanggil untuk menguatkan pasukan kebangsaan mereka menghadapi Afrika Selatan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Ahad ini, Selangor turut merehatkan S.Sivaram, P.Gunalan dan D.Surendran yang mengalami kecederaan.
MPSJ membariskan bekas-bekas pemain bintang tempatan antaranya Zami Mohd Nor, Rusdi Suparman, Azrul Amri Burhan dan bekas pemain MK Land musim lepas, Fairuz Mohd Nor.
Perlawanan dimulakan tepat jam 8.15 malam.
Babak pertama, Selangor meletakkan Jamsari Sabian (1) di pintu gol, pertahanan dikemudi Aiman Firdaus (18) di sebelah kanan, Fadhil Hashim (13) di sebelah kiri manakala pertahanan tengah menyaksikan Tharmini Saiban (2) bergandingan dengan pertahanan import (15) yang diuji buat kali kedua. Posisi tengah diisi Shukor Adan (25) dan seorang lagi pemain import yang diuji (16), sayap kanan Razman Roslan (3) sementara sayap kiri K.Rajan (24). Amri Yahyah (17) dan Khalid Jamlus (25) bergadingan di bahagian serangan.
Kedudukan separuh masa pertama, kekal tanpa sebarang jaringan.
Selangor melakukan beberapa pertukaran menjelang separuh masa kedua dengan merehatkan Jamsari Sabian, Tharmini Saiban, Shukor Adan dan Khalid Jamlus dengan memasukkan Shahrizan Ismail, Nazrul Erwan, Nazzab Hidzan dan Wan Rohaimi.
Bagi separuh masa kedua, Selangor meletakkan Shahrizan Ismail (22) di pintu gol, pertahanan dikemudi Aiman Firdaus (18) di sebelah kanan, Fadhil Hashim (13) di sebelah kiri manakala pertahanan tengah menyaksikan Nazrul Erwan (5) bergandingan dengan pemain import (15). Posisi tengah diisi K.Sanbagamaran (12) dan pemain import (16), sayap kanan Razman Roslan (3) sementara sayap kiri K.Rajan (24). Amri Yahyah (17) dan Wan Rohaimi (9) bergadingan di bahagian serangan.
Pada minit ke-60, Selangor melakukan tiga lagi pertukaran serentak dengan memasukkan Nazzab Hidzan (4), Fairuz Montana (10) dan Saifulnizam (6) bangi menggantikan dua pemain import (15) dan (16) serta Razman Roslan (3).
Akhirnya pada minit ke-75, Selangor berjaya memperoleh gol tunggal hasil jaringan Amri Yahyah. Gol berpunca dari sepakan percuma Nazzab Hidzan dari sebelah kiri yang ditanduk cantik oleh Amri Yahyah.
MPSJ lebih banyak mengasak di separuh masa kedua berbanding pada separuh masa pertama, namun Shahrizan Ismail beberapa kali menyelamatkan gawang gol Selangor dari dibolosi.
K.Rajan harus dipuji kerana beliau dilihat rajin menggerakkan jentera serangan Selangor dari sebelah sayap kiri mahupun sebelah kanan.
Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan.
Perlawanan persahabatan seterusnya bagi pasukan Selangor adalah menentang UPB FC pada hari Isnin depan di Padang PKNS, Kelana Jaya.