24.11.05
Selangor 2 Shahzan Muda 2
Oleh: misai117

Banner terbaru selangorfc.com
Satu perlawanan persahabatan menjelang TM Liga Malaysia 2005/06 telah berlangsung di Stadium MPPJ, Kelana Jaya petang tadi menyaksikan pasukan Shahzan Muda Pahang berjaya mengikat pasukan Selangor dengan keputusan seri 2-2.
Ini merupakan perlawanan persahabatan pertama bagi pasukan Selangor sekembali dari pulang menjalani latihan di Australia, Ahad lepas.
Perlawanan dimulakan tepat jam 5 petang.
Pada babak pertama, Selangor menurunkan hampir kesebelasan utamanya di mana Jamsari Sabian (1) menjaga gawang, pertahanan tengah diterajui Nazrul Erwan (5) dan Tharmini Saiban (2), sementara posisi pertahanan kanan dan kiri diisi oleh D.Surendran (19) dan Fadhil Hashim (13). Di barisan tengah pula, Shukor Adan (25) dan K.Sanbagamaran (12), di bahagian sayap kanan dan kiri masing-masing dikemudi oleh Elie Aiboy (8) dan K.Rajan (24) manakala Khalid Jamlus (23) bergandingan dengan Bambang Pamungkas (20) di bahagian serangan.
Dua tonggak utama tidak diturunkan, P.Gunalan mengalami kecederaan sementara Brian Fuentes masih bercuti di Argentina.
Belum sempat pasukan Shahzan Muda Pahang menyesuaikan diri, Selangor sudah di depan menerusi jaringan K.Sanbagamaran pada minit ke-2.
Gol berpunca daripada sepakan penjuru di sebelah kiri yang diambil D.Surendran yang tepat ke arah K.Sanbagamaran yang kemudiannya menanduk cantik ke penjuru kanan pintu gol lawan. Seorang pertahanan Shahzan Muda Pahang cuba menyelamatkan bola tesebut, namun bola telahpun melepasi garisan gol.
Selepas gol tersebut, kedua-dua pasukan saling menguji pertahanan lawan dan Shahzan Muda Pahang nyaris menyamakan kedudukan pada minit ke-20, namun tiang sebelah kiri pintu gol Selangor menjadi penyelamat.
Namun, pada minit ke-30, Shahzan Muda Pahang berjaya juga menyamakan kedudukan selepas penyerang mereka berjaya melepasi pertahanan tengah dan kemudiannya membawa bola ke sebelah kanan dan berjaya melepaskan rembatan deras menewaskan Jamsari Sabian.
D.Surendran dikeluarkan pada penghujung separuh masa pertama selepas dikasari pemain lawan dan digantikan oleh Aiman Firdaus.
Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Babak kedua dimulakan dengan Selangor mencuba barisan keduanya pula.
Pada babak kedua ini, Shahrizan Ismail (22) ditugaskan menjaga gawang, pertahanan tengah diterajui Saifulnizam Hussain (4) dan seorang pertahanan import dari Croatia (15), sementara posisi pertahanan kanan dan kiri diisi oleh Aiman Firdaus (18) dan S.Sivaram (11). Di barisan tengah pula, Nazzab Hidzan (6) dan seorang pemain tengah dari Croatia (16), di bahagian sayap kanan dan kiri masing-masing dikemudi oleh Razman Roslan (3) dan Fairuz Montana (10) manakala Wan Rohaimi Ismail (9) bergandingan dengan Amri Yahyah (17) di bahagian serangan.
Pada minit ke-65, Selangor mendahului 2-1 apabila Nazzab Hidzan berjaya melepaskan satu rembatan kencang dari luar kotak penalti yang tepat ke penjuru kiri pintu gol lawan.
Selepas itu, S.Sivaram terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan dan Fadhil Hashim dimasukkan semula bagi menampung posisi pertahanan kiri tersebut.
Shahzan Muda Pahang sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-75 apabila Fadhil Hashim gagal menyekat larian deras pemain penyerang pasukan lawan dan satu rembatan deras gagal diselamatkan Shahrizan Ismail.
Kedudukan muktamad, Selangor dan Shahzan Muda Pahang seri 2-2.
Dalam perlawanan tersebut, dua pemain dari Croatia telah diuji. Seorang beraksi di bahagian pertahanan (Jersi no 15) dan seorang pemain tengah (Jersi no 16). Aksi pemain berjersi 15 dilihat agak meyakinkan dengan berjaya membaca beberapa asakan pasukan lawan sementara aksi pemain berjersi 16 pula agak longlai dan gagal menerbitkan asakan yang berkualiti ke arah pintu gol lawan.
Sementara itu, Selangor akan terus menggunakan jersi berjenama Adidas bagi musim 2005/06 yang akan datang ini. Menurut sumber, rekabentuk jersi baru tersebut sudah dipilih dan jersi baru tersebut akan digunakan pada Perlawanan Sumbangsih menentang Perak pada 3 Disember depan.
Pagi esok (Khamis), para pemain Selangor akan mengadakan Ujian Cooper bagi membolehkan mereka diberikan lesen untuk beraksi dalam TM Liga Malaysia oleh FAM.
Perlawanan persahabatan seterusnya bagi pasukan Selangor akan dilangsungkan Jumaat ini, di mana Selangor bertemu MPSJ di Kompleks Sukan MPSJ jam 8.00 malam.