Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
29.11.05

Selangor 2 UPB FC 1

Oleh: misai117

Selangor menutup edisi perlawanan pramusim mereka dengan kemenangan 2-1 ke atas UPB FC di Padang PKNS, malam tadi. UPB FC dulu dikenali sebagai Perak Jenderata akan beraksi dalam TM Liga Perdana untuk musim yang kedua bagi mereka.

 

Perlawanan dimulakan jam 8.05 malam dengan Selangor meletakkan Jamsari Sabian di gawang; D.Surendran, Nazrul Erwan, Tharmini Saiban dan P.Gunalan di bahagian pertahanan; Razman Roslan, Shukor Adan, K.Sanbagamaran dan K.Rajan di bahagian tengah sementara barisan serangan menampilkan Amri Yahyah dan Khalid Jamlus.

 

Babak pertama menyaksikan Selangor menguasai permainan sementara barisan serangan UPB FC yang diterajui tiga permata import mereka gagal memecah kekebalan Nazrul Erwan dan Tharmini Saiban.

 

Jentera serangan Selangor pula dilihat lebih mengasak dari sebelah kanan di mana Razman Roslan dan D.Surendran sering dilihat melakukan gerakan-gerakan menarik. Sayap kanan pula dilihat kurang bermaya di mana K.Rajan dikawal ketat oleh pertahanan lawan.

 

Namun, pada minit ke-30, hasil perebutan bola di antara Khalid Jamlus dan seorang pertahanan UPB FC di dalam kotak penalti menyaksikan bola terkena tangan pemain pertahanan tersebut. Sepakan penalti yang dihadiahkan oleh pengadil mudah disempurnakan Amri Yahyah.

 

Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

 

Babak kedua bermula, Dollah Salleh memasukkan Fadhil Hashim dan Shahrizan Ismail bagi menggantikan Razman Roslan dan Jamsari Sabian. Posisi sayap kanan diambil alih oleh K.Rajan sementara Fadhil Hashim mengisi kekosongan posisi sayap kiri.

 

UPB FC berjaya menghidupkan jentera serangan mereka pada babak kedua ini, namun kecemerlangan penjaga gol gantian, Shahrizan Ismail menidakkan peluang mereka untuk menyamakan kedudukan.

 

Namun, dalam keghairahan melakukan serangan, UPB FC terpaksa bermain 10 orang selepas seorang pemain import mereka dikenakan kad kuning kedua dan seterusnya kad merah pada minit ke-65.

 

Selangor menggunakan kekurangan lawan untuk menambah jaringan pada minit ke-70 apabila hantaran silang K.Rajan dari sebelah kanan cuba mencari Khalid Jamlus di dalam kotak penalti. Namun, salah seorang pemain pertahanan UPB FC

tertampan bola tersebut ke gawang sendiri untuk menjadikan kedudukan 2-0.

 

Selepas itu, Selangor melengkapkan pertukaran mereka dengan mengeluarkan Tharmini Saiban, D.Surendran, K.Rajan dan Khalid Jamlus bangi memasukkan Saifulnizam Hussain, Aiman Firdaus, Nazzab Hidzan dan Wan Rohaimi.

 

Namun, UPB FC tidak berputus asa dan akhirnya berjaya merapatkan jurang gol pada minit ke-85 menerusi jaringan pemain gantian, Azfendy Azzuddin. Azfendy merupakan tunang kepada pelakon filem KL Menjerit 1, Tengku Shaheera yang

turut hadir menyaksikan perlawanan ini.

 

Keputusan muktamad, Selangor menewaskan UPB FC dengan jaringan 2-1.

 

 

SELANGOR:

1-Jamsari Sabian (22-Shahrizan Ismail), 19-D.Surendran (18-Aiman Firdaus), 2-Tharmini Saiban (6-Saifulnizam Hussain), 5-Nazrul Erwan, 15-P.Gunalan, 3-Razman Roslan (13-Fadhil Hashim), 25-Shukor Adan, 12-K.Sanbagamaran, 24-K.Rajan (4-Nazzab Hidzan), 23-Khalid Jamlus (9-Wan Rohaimi), 17-Amri Yahyah.

 

Pemain yang tidak beraksi: Bambang Pamungkas, Elie Aiboy, Brian Fuentes, Fairuz Montana, S.Sivaram.