17.12.05
Azlisham atau Syed Adney?
Oleh: misai117

Azlisham Ibrahim

Syed Adney Syed Hussein
Tatkala Jamsari Sabian terpaksa direhatkan akibat menerima 10 jahitan di bahagian mulut ketika aksi menentang Pahang Sabtu lepas, nama Shahrizan Ismail disebut-sebut bakal menggalas tugas menjaga benteng terakhir Selangor dalam perlawanan menentang MPPJ malam ini.
Namun, segala perancangan tampak tidak menjadi apabila Shahrizan mengalami kecederaan pada ibu jari kaki kanan ketika sesi latihan beberapa hari lepas. Ini menyebabkan Shahrizan juga terpaksa diketepikan malam ini.
Yang tinggal hanyalah penjaga gol ketiga, Azlisham Ibrahim. Justeru itu, Dollah Salleh terpaksa memanggil penjaga gol Skuad Piala Presiden Selangor, Syed Adney Syed Hussein untuk mengisi kekosongan posisi penjaga gol akibat ketiadaan Jamsari dan Shahrizan.
Teka teki siapakah yang bakal menggalas tugas mengawal gawang gol Selangor masih belum terjawab dan hanya akan diketahui sebelum sepak mula malam ini.
Azlisham Ibrahim, 32, merupakan penjaga gol berpengalaman dalam kancah Liga Malaysia di mana beliau pernah beraksi untuk beberapa pasukan antaranya Pulau Pinang dan Perak. Namun, beliau jarang diturunkan dalam kesebelasan utama Selangor dan kali terakhir beliau diturunkan adalah ketika peringkat kumpulan dalam saingan Piala Malaysia 2004.
Ketika ditemui di padang latihan petang Jumaat, beliau yang lebih dikenali dengan panggilan 'Boy' masih berahsia apabila diajukan soalan siapa yang bakal menjaga gawang Selangor dalam perlawanan menentang MPPJ ini. Beliau akan memakai jersi bernombor 21.
Sementara itu, Syed Adney Syed Hussein, 19, pula merupakan penjaga gol Skuad Piala Presiden Selangor musim ini. Beliau dilahirkan di England pada 29 November 1986 dan menetap di sana sehingga usia 8 tahun. Selepas itu, beliau pulang ke tanah air dan menetap di Selangor. Beliau pernah beraksi di peringkat remaja bagi pasukan Selangor.
Namun, disebabkan saingan sengit untuk merebut tempat dalam Skuad Piala Presiden Selangor dua musim lepas, beliau dilamar Skuad Piala Presiden Perak dan beraksi bersama pasukan tersebut sehingga musim lepas.
Menjelang musim baru ini, Syed Adney kembali ke pangkuan Skuad Piala Presiden Selangor dan beliau amat bertuah apabila berpeluang berada dalam senarai pemain Skuad Liga Super menjelang perlawanan malam ini ekoran kecederaan Jamsari dan Shahrizan.
Syed Adney yang ditemui di kem latihan Selangor petang Jumaat, berjanji akan beraksi bersungguh-sungguh sekiranya diturunkan dalam perlawanan malam ini. Menurut beliau, sejak kecil lagi beliau bercita-cita untuk menjadi penjaga gol utama Selangor dan berharap agar cita-cita itu akan tercapai suatu hari nanti.
Sementara itu, Jamsari Sabian kini sudah bergelar bapa apabila isteri beliau selamat melahirkan anak perempuan beberapa hari lepas.