27.12.05
Bambang belum terdesak
Oleh: Berita Harian

Selangor menentang KL Maju (Gambar:NSTP)
Penyerang utama Selangor, Bambang Pamungkas tidak tertekan dengan kemarau gol yang dialaminya setakat ini dan percaya masa akan tiba untuknya kembali menyerlah sebagai penjaring terbilang skuad itu.
Bambang yang hanya menjaringkan satu gol daripada empat perlawanan setakat ini turut menafikan saingan Liga Super yang lebih kompetitif turut menjadi faktor kegagalannya menyumbat lebih banyak gol berbanding musim lalu sehingga muncul penjaring terbanyak skuad Merah Kuning dengan 39 gol secara keseluruhan.
“Musim lalu walaupun beraksi dalam Liga Perdana, kami juga menentang beberapa pasukan Liga Super seperti Perlis dan Perak dan menewaskan mereka. Cuma bezanya kini, Selangor masih belum mencapai tahap yang sepatutnya.
“Diharap selepas Tahun Baru nanti, Selangor akan kembali mengancam seperti musim lalu,” katanya selepas membantu Selangor menang 4-1 ke atas Maju Holdings Berhad dalam perlawanan persahabatan semalam.
Dalam perlawanan itu, Selangor turut menguji seorang pertahanan dari Ivory Coast, Igor Latte-Yedo bagi memantapkan benteng pasukan itu yang bolos 10 gol setakat ini.
Igor, 27, menetap di Perancis sejak berusia lima tahun, pernah beraksi dengan kelab utama Portugal, Estoril pada 2003, sebelum berhijrah ke England untuk menyertai kelab Divisyen Tiga, Cambridge United.
Selangor yang menjuarai tiga piala musim lalu dan dinaik taraf ke Liga Super musim ini kini terjerumus ke tangga ketiga terbawah carta selepas hanya menang sekali daripada empat perlawanan liga.
Malah, Bambang yang dianggap seorang daripada penyerang terbilang Indonesia yang musim kedua bersama Selangor juga agak tenggelam berbanding seorang lagi penyerang import pasukan itu - Brian Fuentes dari Argentina yang sudah menyumbat dua gol walaupun hanya beraksi dalam dua perlawanan.
“Saya tidak pentingkan jaringan peribadi asalkan Selangor menang. Bagaimanapun, saya percaya dengan usaha bersungguh-sungguh rakan sepasukan ketika latihan, kami akan bangkit selepas ini dan saya sendiri mampu menjaringkan lebih banyak gol,” katanya.
Sementara itu jurulatih Selangor, Dollah Salleh menjelaskan masih mahu menguji lebih lanjut pertahanan dari Ivory Coast itu yang mempunyai ketinggian 190 sentimeter dalam perlawanan persahabatan berikutnya sebelum membuat sebarang keputusan.
Dollah berkata, dia masih mempunyai tiga lagi calon pertahanan import untuk diuji termasuk seorang lagi dari Ivory Coast dan masing-masing seorang dari Colombia dan Liberia sebelum tempoh mendaftar pemain import ditutup 31 Disember ini.