Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
05.12.05

Dollah kecewa kalah besar

Oleh: Harian Metro

Dollah Salleh

Dollah Salleh

Pengajaran besar amat memedihkan. Nada kecewa itu diluahkan jurulatih Selangor, Dollah Salleh kepada anak buahnya setelah tewas 1-4 kepada Perak dalam perlawanan Piala Sumbangsih kelmarin.

 

Kekalahan besar itu seharusnya diterima secara rasional bagi mematangkan lagi pasukan elit yang gagah musim lalu.

 

Dollah mahukan semua pemain bertanggungjawab atas kekalahan besar awal musim ini.

 

Menurutnya, kealpaan dan kecuaian seketika mengundang padah kepada anak buahnya yang bagaikan bermimpi di siang hari.

 

Katanya, cabaran besar menanti pemain yang beraksi dalam Liga Super musim ini menentang pasukan hebat termasuklah Perlis, Pahang dan Perak yang sama mengintai peluang menumbangkan mereka.

 

"Jentera pertahanan kami kurang berfungsi dengan sempurna menyebabkan dua pemain import Perak, Troare Abdolaye dan Kieta Mandjou tidak mensia-siakan peluang menjaring gol kemenangan.

 

"Corak permainan yang dipersembahkan itu sama hebatnya dengan lawan, namun kelekaan memburu jaringan menghancurkan peluang kami menjulang kejuaraan," katanya semalam.

 

Dollah optimis mahukan pemain terus menggandakan usaha bagi memadam kesuraman malam itu dengan memburu kemenangan sulung menentang Pahang pada 10 Disember ini.

 

Katanya, mereka terima kekalahan itu dengan hati terbuka namun berjanji mahu terus bangkit daripada lamunan dengan menganggap segalanya baru bagi perlawanan awal menentang Pahang kelak.

 

"Tidak ada gunanya menoleh ke belakang. Detik semalam tidak diubah semula. Pemain ada tanggungjawab untuk mengubah keputusan perlawanan penting dalam saingan Liga Super.

 

"Berentap dalam saingan liga ini perlu lebih berhati-hati bukannya semudah yang disangkakan. Saya mahu pemain menggunakan pengalaman lepas dengan terbaik untuk terus melakar kejayaan," katanya.

 

Dollah berkemungkinan menurunkan peledak tajam, Brian Fuentes semula setelah gagal beraksi menentang Perak dalam perlawanan lalu bagi memantapkan serangan pasukannya menghadapi perlawanan penting.

 

Katanya, posisi dan persembahan Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy akan diolah semula bagi memantapkan perlawanan mereka mengejar kemenangan demi kemenangan lagi.

 

"Saya ingatkan pemain jangan lagi leka. Ikuti nasihat jurulatih dan beraksi penuh waspada dalam semua perlawanan terutama menentang pasukan lebih berpengalaman dalam liga ini," katanya.