Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
27.12.05

Dollah sudah tiada masa

Oleh: Harian Metro

Masa sudah semakin suntuk bagi jurulatih Selangor, Dollah Salleh, yang hanya mempunyai tempoh hingga Sabtu ini, untuk memburu seorang pemain import yang mampu menampung lompang di bahagian pertahanan, bahagian paling bermasalah bagi skuad Gergasi Merah itu.

Jurulatih yang mencipta kegemilangan bagi skuad Merah Kuning musim lalu apabila membawa tiga piala ke Selangor, kini berdepan tugas paling berat untuk memperkukuhkan pasukannya selepas hanya mampu mengutip tiga mata dari empat perlawanan, satu keputusan yang begitu menyakitkan untuk diterima peminat setia mereka.

Dollah mengakui persiapan Selangor menghadapi Liga Super musim ini tidak sebaik yang direncanakan.

"Kami tidak mampu membuat persiapan begitu rapi musim ini.

"Tetapi saya tidak boleh menyalahkan keadaan ini, kami perlu menghadapinya dan saya berharap ianya tidak berpanjangan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan persahabatan menentang kelab KL Maju Holdings di Stadium Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), petang semalam yang dimenangi Selangor 4-1.

Dollah berkata, Selangor turut berdepan masalah mencari pemain import pertahanan yang terbaik bagi memastikan mereka mampu mencabar pasukan lain musim ini.

"Sekarang memang kami bergelut dengan masa untuk mencari pemain pertahanan yang bertaraf antarabangsa.

"Pemain import yang kami uji tidak mencapai tahap itu, sedangkan masa sudah semakin suntuk," katanya.

Bagaimanapun, kata bekas penyerang kebangsaan itu, dia tidak akan terburu-buru mencari seorang lagi pemain import kerana tidak mau langkah itu hanya bagi melengkapkan kuota empat pemain import bagi skuad merah Kuning itu.

"Kita akan menguji empat pemain pertahanan iaitu dua dari Ivory Coast, seorang dari Liberia dan seorang lagi pemain kebangsaan Colombia," katanya.

Dalam perlawanan petang semalam, Selangor menguji pemain kelahiran Ivory Coast dari Peranchis, Latte-Yedo Igor, tapi ternyata pemain itu gagal menyerlah.

"Saya masih tidak nampak keistimewaan pemain ini, mungkin ini kali pertama dia diturunkan.

"Saya akan mengujinya sekali lagi esok (hari ini), bersama pemain dari Ivory Coast dan Liberia dalam perlawanan menentang Proton," katanya.