Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
13.12.05

Jamsari bakal terlepas dua perlawanan

Oleh: misai117

Jamsari Sabian

Jamsari Sabian

Penjaga gol utama Selangor, Jamsari Sabian bakal terlepas untuk beraksi dalam dua perlawanan TM Liga Super 2005/06 berikutan kecederaan pada bahagian mulut yang dialaminya ketika perlawanan menentang Pahang, Sabtu lalu.

 

Beliau yang ditemui selangorfc.com ketika sesi latihan skuad Merah Kuning di Padang FAS, Kelana Jaya petang tadi berkata, selepas berlaga dengan Bernard Tchoutang pada penghujung separuh masa pertama, beliau terus rebah dan tidak sedarkan diri.

 

"Saya hanya ingat, ketika itu saya berjaya menumbuk bola sepakan percuma Pahang dan selepas itu terus tidak sedarkan diri dan apabila tersedar, saya sudah berada di dalam ambulans", ujar Jamsari.

 

Beliau menerima 10 jahitan di bahagian bibir sebelah atas mulut beliau akibat bibirnya yang terbelah menyebabkan beliau sukar untuk bercakap. Akibat kecederaan tersebut, Jamsari hanya mampu makan bubur sahaja buat masa ini.

 

Justeru itu, Shahrizan Ismail bakal menggalas tugas mengawal gawang gol Selangor pada pertemuan menentang MPPJ (Sabtu ini) dan Pulau Pinang E&O (Selasa depan) sementara penjaga gol ketiga, Azlisham Ibrahim bakal berada di bangku simpanan sebagai penjaga gol gantian.

 

Jamsari dijangka turun semula dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan pada 31 Disember depan. Meskipun masih terasa kesakitan, semangat Jamsari wajar dipuji apabila beliau turut hadir melihat rakan-rakan sepasukannya yang lain turun berlatih petang tadi.

 

Agak malang bagi Jamsari yang bakal menyambut kelahiran anak sulung beliau yang dijangka pada hari Rabu ini, dalam keadaan beliau yang masih sakit menahan kecederaan dan kesakitan. Semoga Jamsari cepat sembuh dan isteri beliau selamat melahirkan anak sulung mereka.