21.12.05
Penang E&O 3 Selangor 1 (Liga Super)
Oleh: misai117

Serba tidak menjadi. Begitulah yang dapat dirumuskan tentang persembahan pasukan Selangor apabila tewas 1-3 di tangan Pulau Pinang E&O dalam perlawanan ke-4, TM Liga Super 2005/2006 di Stadium Negeri, Batu Kawan, Pulau Pinang malam tadi.
Turun tanpa Brian Fuentes yang mengalami kecederaan pangkal peha, posisi sayap kiri diambil alih K.Rajan. Amri Yahyah dan Syed Adney Syed Hussein pula hanya diletakkan di bangku simpanan bagi membolehkan Jamsari Sabian dan Khalid Jamlus kembali berada dalam kesebelasan utama.
Hanya 22 minit diperlukan pasukan tuan rumah untuk mendahului Selangor. Hasil serangan balas dari sebelah kiri, Rosli Azizan yang menerima hantaran Zulhisyam Jamaludin berjaya melepasi pertahanan tengah Selangor seterusnya larian deras beliau gagal disekat Jamsari Sabian dan Rosli mudah menolak masuk untuk gol pertama Pulau Pinang E&O.
4 minit kemudian, Shukor Adan nyaris menyamakan kedudukan apabila beliau mencuba dari luar kotak penalti, namun bola hanya singgah ke jaring tepi gol Pulau Pinang E&O.
Selangor makin tertekan apabila sepakan penjuru tuan rumah pada minit ke-30, mudah ditanduk masuk oleh pemain import, Mario da Silva untuk kedudukan 2-0.
Belumpun sempat para pemain Selangor bangkit mencari gol bagi merapatkan jurang, Pulau Pinang E&O terus selesa apabila sepakan percuma dari sebelah kiri cuba ditanduk keluar oleh Tharmini Saiban. Namun, malang menimpa apabila tandukan pemain pertahanan Selangor itu terus menuju ke dalam pintu gol Selangor untuk gol ketiga tuan rumah pada minit ke-34.
Melihat aksi K.Rajan agak longlai, Dollah Salleh terus bertindak mengeluarkannya dan memasukkan Amri Yahyah bagi menghidupkan jentera serangan.
Kedudukan separuh masa pertama, Selangor ketinggalan 0-3.
Babak kedua dimulakan dengan Selangor terus memasukkan Wan Rohaimi bagi menggantikan D.Surendran yang agak goyah aksinya pada malam ini.
Selangor mendominasi permainan pada separuh masa kedua ini, namun gagal mencari gol semangat sehinggalah minit ke-71 apabila Tharimini Saiban berjaya menebus jaringan sendiri beliau pada separuh masa pertama dengan menolak masuk bola ke dalam gawang Pulau Pinang E&O hasil pergelutan di depan pintu gol.
Gol kedua yang dicari-cari barisan Selangor gagal jua diperoleh meskipun dihidangkan peluang-peluang terbaik menerusi tandukan K.Sanbagamaran dan dua percubaan masing-masing dari Khalid Jamlus dan Bambang Pamungkas.
Menuju tamat masa sebenar permainan, seorang pemain Pulau Pinang E&O dilayangkan kad kuning kedua seterusnya kad merah selepas beliau mengasari P.Gunalan.
4 minit masa kecederaan diberikan pengadil, namun Selangor masih gagal mencari gol yang dicari-cari dalam malam yang serba tidak menjadi buat skuad Selangor.
SELANGOR: 1-JAMSARI SABIAN, 19-D SURENDRAN (9-WAN ROHAIMI ISMAIL), 2-AHMAD THARMINI SAIBAN, 5-NAZRUL ERWAN, 15-P GUNALAN, 8-ELIE AIBOY, 25-SHUKOR ADAN, 12-K SANBAGAMARAN, 24-K.RAJAN (17-AMRI YAHYAH), 20-BAMBANG PAMUNGKAS, 23-KHALID JAMLUS.