02.12.05
Selamat pulang Brian Diego Fuentes
Oleh: misai117

Fuentes & isteri di KLIA pagi tadi
Bintang import Selangor dari Argentina, Brian Diego Fuentes selamat tiba di KLIA pagi tadi sambil ditemani isterinya selepas hampir dua bulan pulang bercuti ke Argentina untuk melangsungkan perkahwinan.
Brian Fuentes, 29, menaiki pesawat Malaysia Airlines (MH202) dari Buenos Aires dan singgah di Cape Town dan Johannesburg sebelum tiba di KLIA tepat jam 6.22 pagi tadi dan keluar dari Balai Ketibaan kira-kira sejam kemudian. Pesawat tersebut berlepas dari Buenos Aires jam 8.45 malam Rabu lepas.
Menurut Brian Fuentes yang ditemui setibanya di KLIA pagi tadi, beliau begitu letih kerana terpaksa mengharungi penerbangan yang memakan masa hampir 26 jam. Beliau juga mengucapkan terima kasih di atas ucapan tahniah sempena perkahwinan beliau baru-baru ini.
Wakil dari Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Encik Rosman turut hadir untuk membawa pulang Brian Fuentes dan isterinya ke kediaman mereka di Shah Alam.
Brian Fuentes dijangka direhatkan dalam perlawanan merebut Piala Sultan Ahmad Shah esok dan akan memulakan aksi dalam perlawanan kedua Liga Super menentang Pahang di Kuantan pada Sabtu depan (10 Disember 2005).