18.12.05
Selangor 1 MPPJ 2 (Liga Super)
Oleh: misai117
Selangor gagal menyaingi keperkasaan barisan bintang MPPJ Selangor apabila tewas 1-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi. Pasukan yang digelar "Chelsea Malaysia' itu ketinggalan 0-1, namun bangkit menyamakan kedudukan di penghujung babak pertama seterusnya menambah satu lagi jaringan untuk melonjakkan mereka ke persada TM Liga Super 2005/06.
Tanpa kelibat Jamsari Sabian dan Shahrizan Ismail yang masih cedera, Selangor mempertaruhkan penjaga gol Piala Presiden, Syed Adney Syed Hussain bagi mengawal gawang gol selain mengekalkan kesebelasan yang sama ketika menundukkan Pahang 3-1 minggu lepas.
10 minit pertama perlawanan menyaksikan penguasaan penuh jentera serangan Selangor dan berjaya memperoleh sebanyak 3 sepakan penjuru. Asakan bertubi-tubi itu menyebabkan penjaga gol MPPJ, Azmin Azram Aziz tercedera akibat perlanggaran dengan Amri Yahyah pada minit ke-15. Azmin tidak dapat meneruskan perlawanan dan digantikan dengan Faizal Rashid.
Pada minit ke-22, menerusi hantaran lintang dari sebelah kanan oleh Elie Aiboy, Bambang Pamungkas yang berada dalam kotak penalti cuba menanduk hantaran tersebut namun ditolak dari belakang oleh Fauzi Nan. Pengadil tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada Selangor dan Brian Fuentes mudah menyempurkan sepakan tersebut pada minit ke-23.
Selepas jaringan tersebut, Selangor menggendurkan asakan dan akibatnya, hasil hantaran lambung dari sebelah kiri, penyerang MPPJ, Haris Safwan dijatuhkan betul-betul di depan kotak penalti oleh Nazrul Erwan. Juan Manual Arostegui yang mengambil sepakan itu mudah merembat melepasi benteng lalu terus menuju ke arah kanan pintu gol Selangor dan gagal ditepis keluar oleh
Syed Adney Syed Hussein pada minit ke-44.
Kedudukan separuh masa pertama, kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Babak kedua bermula dan MPPJ dilihat semakin menguasai perlawanan. Hanya 15 minit diperlukan untuk MPPJ mendahului Selangor.
Sepakan percuma dari sebelah kanan oleh Fauzi Nan terus ke dalam kotak penalti. Juan Manual Arostegui bijak menanduk masuk bola tersebut ke dalam gol sambil Tharmini Saiban dan Syed Adney teragak-agak untuk mencabar bola tersebut pada minit ke-60.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Dollah Salleh cuba menghidupkan barisan serangan Selangor dengan memasukkan K.Rajan, Khalid Jamlus dan Wan Rohaimi bagi menggantikan Brian Fuentes, Amri Yahyah dan D.Surendran.
10 minit terakhir menyaksikan Selangor mengasak bertubi-tubi ke arah kubu MPPJ dan berjaya menggegarkan jaring gol MPPJ pada minit ke-88 menerusi tandukan Khalid Jamlus, namun gol tersebut dibatalkan pengadil kerana offside.
3 minit masa kecederaan diberikan dan Selangor sepatutnya memperoleh sepakan penalti apabila bola terkena tangan salah seorang pertahanan MPPJ, namun insiden tersebut tidak dilihat oleh pengadil dan penjaga garisan untuk keputusan muktamad Selangor tewas 1-2 dalam perlawanan ke-3 TM Liga Super musim ini.
SELANGOR: 22-SYED ADNEY SYED HUSSEIN, 19-D SURENDRAN (9-WAN ROHAIMI ISMAIL), 2-AHMAD THARMINI SAIBAN, 5-NAZRUL ERWAN, 15-P GUNALAN, 8-ELIE AIBOY, 25-SHUKOR ADAN, 12-K SANBAGAMARAN, 10-BRIAN FUENTES (25-KHALID JAMLUS), 17-AMRI YAHYAH (24-K.RAJAN), 20-BAMBANG PAMUNGKAS.