Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
28.12.05

Selangor 3 Proton 0

Oleh: misai117

Selangor menamatkan siri perlawanan persahabatan ketika TM Liga Super 2005/06 berehat selama 11 hari dengan mencatatkan kemenangan ke atas pasukan dari TM Liga FAM, Selangor Proton dengan jaringan 3-0 di Kompleks Sukan Matsushita, Shah Alam petang tadi.

Dalam perlawanan ini, Selangor turut menguji tiga pemain pertahanan import iaitu Latteyedo Igor dan Emmanuel Felix Jonas dari Ivory Coast serta William Carlos Jaleiva dari Liberia.

Babak pertama, Selangor membariskan kesebelasan utama dengan Jamsari Sabian di pintu gol, barisan pertahanan dikemudi Wan Rohaimi, Tharmini Saiban, Emmanuel Felix Jonas dan P.Gunalan, barisan tengah dibarisi Elie Aiboy, K.Sanbagamaran, Shukor Adan dan K.Rajan sementara Bambang Pamungkas dan Khalid Jamlus di barisan serangan.

Seawal minit ke-7, Selangor sudah berada di depan apabila hantaran lintang dari sebelah kiri oleh K.Rajan gagal ditangkap kemas penjaga gol Proton dan Bambang Pamungkas mudah menolak masuk bola tersebut untuk gol pertama Selangor.

Minit ke-20 pula, menerusi sepakan penjuru Elie Aiboy dari sebelah kanan, Khalid Jamlus bijak melayangkan badan untuk menanduk rendah terus ke dalam pintu gol untuk Selangor mendahului 2-0.

Kedudukan kekal hingga masa rehat.

Bermula separuh masa kedua, Selangor memasukkan Syed Adney, Latteyedo Igor, William Carlos Jaleiva dan Amri Yahyah bagi menggantikan Jamsari Sabian, Tharmini Saiban, Emmanuel Felix Jonas dan Khalid Jamlus.

Selang beberapa minit, Selangor terus melakukan pertukaran demi pertukaran pemain bagi membolehkan semua pemain dapat beraksi.

Corak permainan yang dipamerkan kedua-dua pemain import yang beraksi di separuh masa kedua ini kurang memikat berbanding aksi Emmanuel Felix Jonas di separuh masa pertama.

Akhirnya, Fairuz Montana berjaya meledakkan satu rembatan deras kaki kiri dari luar kotak penalti untuk gol ketiga Selangor pada minit ke-87.

Keputusan muktamad, Selangor menewaskan Proton dengan jaringan 3-0.

SELANGOR: 1-JAMSARI (22-ADNEY), 9-ROHAIMI (6-SAIFUL), 2-THARMINI (18-IGOR), 5-FELIX (19-CARLOS), 15-GUNALAN (13-FADHIL), 8-ELIE AIBOY (3-RAZMAN), 25-SHUKOR (14-SIVARAM), 12-SANBA (7-NAZZAB), 24-RAJAN (11-MONTANA), 25-KHALID (17-AMRI), 20-BAMBANG (10-FUENTES).

PEMAIN TIDAK BERAKSI: Shahrizan Ismail, D.Surendran, Aiman Firdaus, Nazrul Erwan.