27.12.05
Selangor 4 KL Maju Holdings 1
Oleh: misai117

Memandangkan tiada perlawanan TM Liga Super 2005/06 pada hari Sabtu yang lepas, Selangor mengadakan satu perlawanan persahabatan menentang pasukan dari TM Liga FAM, KL Maju Holdings di Kompleks Sukan MPSJ, petang tadi. Perlawanan berkesudahan dengan Selangor menang 4-1.
Selangor hanya membariskan pemain-pemain simpanan di separuh masa pertama. Syed Adney sebagai penjaga gol, Aiman Firdaus (pertahanan kanan), Tharmini Saiban dan pemain import yang diuji, Igor (pertahanan tengah), Fadhil Hashim (pertahanan kiri), Razman Roslan (sayap kanan), Nazzab Hidzan dan Fairuz Montana (midfield), K.Rajan (sayap kiri), Khalid Jamlus dan Amri Yahyah
(penyerang).
Seawal minit ke-3, Selangor sudah mendahului menerusi tandukan Khalid Jamlus yang berpunca dari gerakan Fairuz Montana yang melorongkan bola kepada Razman Roslan di sebelah kanan. Razman kemudiannya melambungkan bola tepat ke arah Khalid Jamlus yang menanduk kemas tanpa dicabar pemain pertahanan lawan.
Pada minit ke-25, Selangor mengukuhkan kedudukan 2-0 apabila Amri Yahyah mudah menolak hantaran Razman Roslan di dalam kotak penalti.
Khalid Jamlus sekali lagi melakukan penyudahan tepat apabila rembatan kaki kanan yang deras dari luar kotak penalti terus menerjah jaring pada minit ke-35 untuk gol ketiga Selangor.
D.Surendran dimasukkan bagi menggantikan Aiman Firdaus yang tercedera akibat dirempuh pemain lawan.
Di penghujung babak pertama, Amri Yahyah berjaya menambah derita KL Maju Holdings apabila menanduk masuk sepakan penjuru dari Nazzab Hidzan untuk kedudukan 4-0.
Separuh masa kedua bermula, Dollah Salleh memasukkan Jamsari Sabian, Wan Rohaimi dan Bambang Pamungkas bagi menggantikan Syed Adney, Tharmini Saiban dan Khalid Jamlus.
Beberapa minit kemudian, Fadhil Hashim dan Fairuz Montana pula dikeluarkan bagi memberi peluang kepada P.Gunalan dan Shukor Adan.
KL Maju Holdings dilihat sukar untuk melepasi pertahanan Selangor, namun mereka berjaya juga memperoleh gol pertama apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan salah seorang pemain Selangor pada minit ke-60 untuk menjadikan kedudukan 4-1.
Selangor melengkapkan pertukaran pemain apabila memasukkan Nazrul Erwan, K.Sanbagamaran, S.Sivaram, Saifulnizam Hussain dan Brian Fuentes bagi menggantikan Tharmini Saiban, Igor, Nazzab Hidzan, K.Rajan dan Amri Yahyah.
Meskipun memasukkan pemain-pemain utama, Selangor masih gagal menambah jaringan apabila percubaan demi percubaan berjaya dipatahkan penjaga gol gantian KL Maju Holdings dan satu percubaan dari Bambang Pamungkas hanya singgah ke tiang kiri pintu gol lawan.
Tamat perlawanan, Selangor menewaskan KL Maju Holdings dengan jaringan 4-1.
Selangor akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang satu lagi pasukan dari TM Liga FAM, Selangor Proton di Kompleks Sukan Matsushita, Shah Alam petang esok (Selasa).
SELANGOR: 22-ADNEY (1-JAMSARI), 18-AIMAN (19-SURENDRAN), 2-THARMINI (9-ROHAIMI), 6-IGOR (5-NAZRUL ERWAN), 13-FADHIL (15-GUNALAN), 3-RAZMAN (8-SAIFULNIZAM), 11-MONTANA (25-SHUKOR), 7-NAZZAB (12-SANBA), 24-RAJAN (14-SIVARAM), 25-KHALID (20-BAMBANG), 17-AMRI (10-FUENTES).
PEMAIN TIDAK BERAKSI: Shahrizan Ismail (Hadir) dan Elie Aiboy (Tidak Hadir).