Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
05.12.05

Selangor tampak pincang

 

Secara mendadak, aura kekebalan yang menyelubungi Selangor sejak beberapa bulan lepas yang menyumbang ke arah kemenangan treble telah hilang.

 

Perak, pasukan yang menampilkan penjaga gol mentah dan kehilangan 6 pemain yang beraksi di Sukan SEA hanya memerlukan 90 minit untuk menunjukkan kepada Selangor jalan berliku yang menunggu musim ini.

 

Kekalahan 4-1 dalam perlawanan Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu lalu yang juga dikira sebagai perlawanan liga pasti mahu dilupakan secepat mungkin oleh Selangor.

 

Tatkala Dollah Salleh perlu merangka kembali strategi baru dua bulan setelah menjulang Piala Malaysia, rakan sejawatannya di Perak, Steve Darby pasti lebih gembira.

 

Walaupun jelas masih belum sempurna, kejayaan manis tersebut pasti menyukarkan hasrat 6 pemain mereka yang beraksi di Manila, R. Surendren, Mohd Nor Ismail, V. Thirumurugan, S. Sathiakumaran, Ahmad Azlan Zainal dan Harizul Izwan Abdul Rani untuk menyertai kesebelasan utama.

 

Yang pastinya, malam Sabtu lalu pasti tidak dapat dilupakan oleh Nasril Nourdin, bekas penuntut Sekolah Sukan Bukit Jalil yang bertindak cemerlang menidakkan percubaan-percubaan Selangor.

 

Berlainan pula dengan nasib penjaga gol Selangor, Jamsari Sabian yang kebal di pintu gawang sewaktu perlawanan akhir Piala Malaysia yang lalu, melakukan kesilapan demi kesilapan sebelum digantikan dengan Shahrizan Ismail.