24.01.06
Amaran Satim buat trio import
Oleh: Harian Metro
Sembilan gol daripada lapan perlawanan dengan gawang dibolosi 21 jaringan menunjukkan betapa hambarnya barisan serangan dan betapa goyah pertahanan skuad Selangor dalam saingan Liga Super musim ini.
Bagi pasukan lawan, ia adalah khabar gembira buat mereka kerana secara purata, dalam setiap perlawanan, gawang skuad Merah Kuning itu dibocori 2.6 jaringan berbanding kemampuan hanya menghasilkan 1.1 jaringan dalam setiap perlawanan.
Berbanding tahun lalu, kemampuan penyerang dari Indonesia, Bambang Pamungkas, tidak boleh dipertikaikan apabila daripada 40 perlawanan, dia menjaringkan 39 gol dengan ledakan hatrik pada final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, menjulangnya sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir, manakala pemain sayap lincah dari Indonesia, Elie Aiboy dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Final Piala FA selepas membantu Selangor membenam Perak 4-2 di Stadium Shah Alam.
Dalam lapan perlawanan setakat ini, Bambang hanya terdaya menghasilkan satu gol, manakala Elie masih berputih mata dan barisan serangan Gergasi Merah hanya mengharapkan kudrat penyerang dari Argentina, Brian Fuentes, yang kini mengumpul lima jaringan.
Buat trio importnya itu, Pengurus pasukan, Datuk Satim Diman, memberi peringatan keras iaitu meningkatkan prestasi terbaik seperti yang dipamerkan musim lalu atau menghadapi kemungkinan lain.
“Saya tidak mahu menggunakan perkataan kecewa, saya lebih senang menggunakan perkataan gusar dengan prestasi mereka setakat ini.
“Mereka adalah pemain profesional dan sepatutnya menunjukkan aksi sebagai pemain profesional sebenar,” katanya kepada Arena Metro, semalam.
Tanpa berselindung, Satim berkata, jika aksi trio itu gagal membantu Selangor memperbaiki kedudukan hingga April depan, ketika tirai perpindahan pemain dibuka semula, skuad Merah Kuning itu tidak teragak-agak untuk menggunakan khidmat pemain import yang lebih bagus daripada mereka.
“Kita akan melihat perkembangan hingga April depan, jika mereka gagal membantu Selangor menduduki tempat yang lebih baik berbanding di tempat terakhir ketika ini, kita akan meminta pandangan daripada jurulatih dan tidak menolak kemungkinan menamatkan khidmat mereka,” katanya.
Tempoh rehat 12 hari sebelum beraksi menentang Pahang di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 4 Februari depan, digunakan bagi memantapkan mental pemain skuad Merah Kuning itu yang akan terbabit dalam sesi memerah otak selama tiga hari dua malam.
“Kita sudah menggunakan pelbagai pendekatan dan kita gagal, tetapi kita tidak akan berputus asa untuk memperbaiki pencapaian musim ini.
“Kita berharap sesi ini akan membantu pemain lebih berkeyakinan bagi mempertahankan Piala Malaysia dan Piala FA serta mengekalkan kedudukan dalam Liga Super musim depan,” katanya.