Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
12.01.06

Dari Kem Latihan 11 Januari

Oleh: misai117

Petang tadi, selangorFC.com sempat menjengah ke Padang Wisma FAS di Kelana Jaya bagi melihat persiapan pasukan Selangor dalam menghadapi juara bertahan TM Liga Super, Perlis di Kangar, Sabtu ini.

Latihan bermula jam 5.00 petang dengan pemain-pemain Selangor turun berlatih dengan jersi Adidas berwarna biru dan berjalur merah. Dollah Salleh, Razali Alias, Rosedy Nadzir dan Rashid Hassan turut kelihatan di padang latihan bagi membimbing anak buah mereka.

Daripada jumlah 23 pemain skuad utama, terdapat beberapa pemain yang mengalami kecederaan dan hadir bagi menjalani latihan ringan sahaja iaitu Elie Aiboy, Khalid Jamlus, Razman Roslan dan Aiman Firdaus.

Untuk posisi penjaga gol pula, Shahrizan Ismail telah pulih dari kecederaan dan sudah menyertai latihan bersama rakan-rakan seposisi iaitu Jamsari Sabian, Syed Adney dan juga Azlisham Ibrahim.

Seterusnya, pemain-pemain dibahagikan kepada dua pasukan, satu pasukan kesebelasan utama bayangan untuk perlawanan Sabtu ini sementara satu lagi pasukan ialah pemain-pemain simpanan yang turut dibarisi Dollah Salleh serta tiga pemain Piala Presiden.

Untuk perlawanan Sabtu ini, jika kecederaan Elie Aiboy dan Khalid Jamlus masih belum pulih, mungkin terdapat sedikit rombakan posisi di bahagian jentera serangan.

Selain itu, mungkin akan berlaku perubahan posisi dan peranan buat D.Surendran dan K.Sanbagamaran menjelang pertemuan dengan Perlis nanti.

Di bahagian pertahanan pula, mungkin agak sukar bagi Nazrul Erwan mencuri kembali slot pertahanan tengah setelah gandingan Tharmini dan Saifulnizam dalam perlawanan menentang TM FC, Sabtu lepas agak kebal.

Di penghujung sesi latihan, Dollah Salleh mengarahkan para pemainnya untuk berlari beberapa pusingan padang bagi meningkatkan tahap stamina dan kecergasan.

Sesi latihan petang tadi turut disaksikan beberapa penyokong setia Selangor termasuk Deejay RMKL, Syaiful Bahrim atau lebih dikenali sebagai Deejay Saiful.

Skuad Selangor akan menjalani latihan terakhir pada petang Khamis sebelum bertolak ke Perlis pada hari Jumaat.