09.01.06
Dollah harap terus menang
Oleh: Harian Metro
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh berharap semangat juang pemain Selangor akan terus 'membara' selepas kejayaan menewaskan tuan rumah, Telekom Melaka 2-1 pada saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat, kelmarin.
Jurulatih berusia 43 tahun itu yang nyata gembira dengan semangat melawan dipamerkan anak buahnya yang sentiasa mengamalkan semangat juang tinggi sepanjang 90 minit perlawanan itu.
"Saya mahu pemain sentiasa memberi tumpuan pada setiap perlawanan dilalui mereka. Selagi perlawanan belum tamat, mereka tidak boleh cepat berpuas hati kerana ia akan menentukan hasil diperolehi.
"Maksud saya ialah walaupun sudah mendahului, jangan fikir mereka sudah menang perlawanan sebaliknya semua bahagian perlu bekerjasama sert saling bantu-membantu. Ia cara terbaik untuk mendapat keputusan yang baik. Saya sudah katakan, mereka tidak boleh leka walaupun seminit," katanya kepada Harian Metro semalam.
Dollah yang kurang menggemari kata-kata sesetengah pihak mengatakan skuad juara tiga piala musim lalu itu dikatakan sudah kembali mendapat rentak setiap kali menang perlawanan mempunyai pendapat sebaliknya.
"Ya, setiap kali menang, anda katakan kami mendapat rentak, jika kalah kami tiada perkara itu. Sebenarnya kami lebih suka memberi tumpuan satu perlawanan demi satu perlawanan.
"Saya gembira sekarang kerana pemain saya mempamer aksi disiplin yang tinggi dan serius ketika di padang menghadapi lawan. Kemenangan menentang Telekom Melaka satu petanda baik.
"Sebenarnya, saya mengharapkan Selangor akan mempamer peningkatan ketika menentang Negeri Sembilan tetapi perkara itu dicapai ketika menentang Telekom. Saya gembira dengan peningkatan prestasi pemain seperti Bambang Pamungkas, Khalid Jamlus dan Elie Aiboy yag turun naik membantu rakan lain," katanya,
Dua jaringan kemenangan itu dilakukan oleh penyerang Argentina, Brian Fuentes pada minit ketujuh dan kesembilan separuh masa pertama perlawanan.
Ia kemenangan kedua Selangor selepas melalui enam perlawanan dan tewas empat kali.
Gergasi Merah kuning kini menduduki tangga keenam Liga Super dengan enam mata dan ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu, Negeri Sembilan yang mengumpul 15 mata.
Dollah berkata, pemainnya perlu mempamer aksi konsisten dan fokus apabila bertandang menentang juara Liga Super musim lalu, Perlis di Kangar, Sabtu ini.