11.01.06
FAS belum terima surat FAM
Oleh: Utusan Malaysia
Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengesahkan telah dimaklumkan secara lisan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad bahawa tiga pemain Selangor akan dipanggil oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu pada 16 Januari ini.
Setiausaha agungnya, Hamidin Mohd. Amin berkata, Ibrahim memberitahu, jawatankuasa terlihat aksi melampau Fairuz Montana Zainal Abidin daripada siaran televisyen tetapi tidak dengan gelagat K. Sanbagamaran dan Mohd. Amri Yahyah.
"Perkara ini tidak mengejutkan dan sememangnya sudah dijangkakan.
"Walau apa pun FAS sedia memberikan kerjasama dan akan memastikan Sanbagamaran, Mohd. Amri dan Fairuz Montana hadir menghadap jawatankuasa tersebut 16 Januari ini," ujarnya ketika dihubungi di sini, semalam.
Bagaimanapun kata Hamidin sehingga kini FAS belum menerima surat rasmi daripada FAM memanggil ketiga-tiga pemain menghadap jawatankuasa badan induk itu Isnin ini.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan jawatakuasa Tatatertib FAM memandang serius tingkah laku ketiga-tiga pemain itu yang bertengkar dengan penyokong Merah Kuning selepas Selangor tewas 2-0 kepada Negeri Sembilan.
Menurut Ibrahim, jawatankuasa berpendapat gelagat tiga pemain Selangor itu jelas bertentangan dengan tatasusila sebagai pemain bola sepak.
Sebelum ini jawatankuasa Tatatertib FASsekadar memberikan amaran keras kepada ketiga-tiga pemain tersebut gara-gara gelagat mereka yang hampir mencetuskan pergaduhan.
Sehubungan itu kata Hamidin, FAS akan memberikan kerjasama dan akan menyerahkan laporan berhubung insiden yang berlaku sejurus tamat perlawanan Liga Super bertemu Negeri Sembilan pada 31 Disember lalu.
"FAS sudah mengambil tindakan sewajarnya dan kini terpulang kepada FAM untuk menentukan bentuk hukuman jika benar Sanbagaraman, Fairuz Montana dan Mohd. Amri didapati bersalah atas perilaku melanggar tatasusila sebagai pemain," ujarnya.
Dalam insiden tersebut, segelintir penyokong meluahkan kata-kata kesat ke arah pengurus, jurulatih dan pemain.
Malah, segelintir penyokong mencaci dan mencerca dengan kata-kata kesat ekoran kekalahan keempat pasukan itu.
Situasi panas yang diwujudkan oleh mereka itu menyebabkan Sanbagamaran hilang sabar dan melontar botol mineral ke arah penyokong tersebut.
Sementara itu, Mohd. Amri dan Fairuz Montana pula terus meluru ke pagar dan bertengkar dengan segelintir penyokong Selangor.
Hamidin turut mengesahkan FAS terpaksa menamatkan kontrak pemain import dari Ivory Coast, Kore Emmanuel Jonas Felix berkuat kuasa serta-merta selepas gagal dalam ujian perubatan.