Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
23.01.06

Fuentes mahu rakan bangkit semula

Oleh: Berita Harian

Kemerosotan kritikal yang dialami seharusnya menyedarkan semua pemain Selangor bahawa hanya kebangkitan total mampu menyelamatkan skuad itu daripada terus dibelenggu kekalahan.

Pemain import paling lama skuad itu, Brian Fuentes menegaskan kekalahan berterusan hingga terjerumus ke dasar Liga Super sekarang menggambarkan usaha dilakukan setakat ini masih belum mencukupi dan menyeru rakan sepasukan telus untuk menjelmakan kebangkitan segera skuad itu.

Fuentes yang sudah tiga musim bersama skuad itu berkata, prestasi Selangor setakat ini terburuk sepanjang bersama skuad itu sejak 2003 dan tidak sepatutnya berlaku selepas kejayaan cemerlang memenangi tiga piala musim lalu.

“Semua pemain kini harus bersatu dan telus untuk merubah nasib pasukan. Kita tidak boleh lagi hanya cakap saja mahu bangkit, tetapi tidak disertai dengan kesungguhan sepenuhnya,” katanya.

Selangor terus kecewa apabila tewas kepada Perak 2-0 kelmarin yang sekali gus menghumban mereka ke dasar Liga Super selepas hanya mencatat dua kemenangan daripada lapan perlawanan.

Fuentes yang menjadi penjaring terbanyak skuad itu setakat ini dengan lima gol daripada enam perlawanan yakin Selangor masih berpeluang kembali ke kelompok atasan Liga Super jika mampu mengembalikan prestasi konsisten seperti musim lalu.

“Apa yang kami perlukan ialah kemenangan secepat mungkin dan terus mengekalkan rentak berkenaan. Saya percaya Selangor masih pasukan yang mantap dan hanya persediaan tidak cukup rapi menjadi punca kegagalan kami menampilkan prestasi terbaik,” katanya.