10.01.06
Gergasi merah kembali garang
Oleh: Harian Metro

Kemenangan ke atas Telekom Melaka, di Stadium Hang Jebat, Sabtu lalu, menyelamatkan maruah skuad Gergasi Merah selepas dirundung malang akibat pelbagai peristiwa yang hampir meruntuhkan semangat pemain kendalian jurulatih, Dollah Salleh, itu.
Selepas insiden di Stadium Nasional, Bukit Jalil, ketika tewas kepada Negeri Sembilan yang mengakibatkan tiga pemainnya diberi amaran keras, Selangor turut berdepan andaian kegagalan memberikan imbuhan sewajarnya menyebabkan pemain mereka beraksi layu di tengah padang.
Bagaimanapun, selaku kapten skuad Merah Kuning itu, Shukor Adan, begitu gembira selepas semua masalah yang menimpa mereka selama ini berjaya disanggah dengan kemenangan yang disifatkan sebagai penyelamat masa depan skuad bekas penyandang Piala Malaysia itu.
“Ini adalah kemenangan paling penting bagi kami musim ini selepas berdepan dengan pelbagai peristiwa sejak beberapa minggu lalu.
“Kemenangan ini mengubat segala kedukaan kami dan membuktikan bahawa kami sebenarnya tidak berdepan sebarang masalah biarpun tewas dalam empat perlawanan sebelum ini,” katanya kepada Arena Metro, semalam.
Shukor berkata, kemenangan ke atas Telekom Melaka itu turut membuktikan janji pemain kepada pengurusan pasukan untuk memperbaiki permainan dan mencatat kemenangan berjaya ditunaikan.
“Selepas tewas di tangan Negeri Sembilan dua minggu lalu, kami berjanji untuk membersihkan imej skuad Merah Kuning yang tercalar dan Alhamdulillah, berkat kerjasama semua pemain, hasrat ini dapat ditunaikan,” katanya.
Selepas menjadikan Telekom Melaka mangsa kedua mereka musim ini, Shukor berkata, tumpuan skuad Gergasi Merah selepas ini ialah mencatat kemenangan ke atas finalis Piala Malaysia musim lalu, Perlis, di Stadium Utama Kangar, Sabtu ini.
“Kami perlu kembali seperti musim lalu iaitu memberi fokus kepada satu demi satu perlawanan dan ia terbukti dengan kemenangan ke atas Telekom Melaka, Sabtu lalu, dan langkah itu juga yang akan kami lakukan apabila bertemu Perlis, hujung minggu ini.
“Saya menyedari bahawa Perlis satu pasukan yang kuat tetapi saya yakin dengan semangat tinggi semua pemain ketika ini, kemenangan pasti dalam genggaman kami,” katanya.