Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
23.01.06

Kembalikan semula maruah - Satim

Oleh: Utusan Malaysia

Pengurus Selangor, Datuk Satim Diman menagih sikap profesional pemain untuk mengembalikan semula maruah yang sudah tercalar.

Menurut beliau, jatuh atau bangun skuad Selangor musim 2005/2006 kini bergantung kepada pemain untuk menentukan.

"Pemain sendiri boleh menentukan kalau Selangor boleh menang atau kalah.

"Sebagai pemain profesional yang dipilih menyarung jersi Selangor dan dibayar gaji mahal sepatutnya kita tidak mengalami kekalahan demi kekalahan," ujar Satim di sini, semalam.

Menurut beliau, segala kemahuan pemain telah dituruti oleh pihak pengurusan Selangor.

Malah, katanya, pertemuan secara peribadi termasuk luahan rasa tidak puas hati pemain sudah didengar oleh pihak pengurusan dan telah menyelesaikan di meja rundingan.

"Selepas ini, saya mahu pemain bersikap lebih realistik untuk bangkit semula selepas Tahun Baru Cina ini," ujarnya.

Rentetan kekalahan demi kekalahan berterusan dialami, menyaksikan skuad Merah Kuning kini menduduki tangga terbawah Liga Super mengambil alih tempat Pahang.

Terbaru, tunduk 0-2 kepada Perak di tempat lawan kelmarin yang merupakan kekalahan kali keenam daripada lapan perlawanan terus menambah derita Selangor yang berpanjangan.

Malah, laungan amaran keras Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo akan memotong gaji pemain yang tidak memberikan komitmen, langsung tidak dapat menyuntik semangat pemain.

Bagaimanapun buat Satim, kekalahan tersebut belum lagi menutup peluang Selangor untuk sekurang-kurangnya mempertahankan kedudukan dalam Liga Super musim depan.

Beliau mengakui kekalahan keenam skuad Merah Kuning menutup sisa-sisa perjuangan untuk memburu gelaran Liga Super musim 2005/2006.

"Secara peribadi saya yakin peluang Selangor masih belum tertutup sekalipun daripada lapan perlawanan kita bermain teruk.

"Baki 13 perlawanan selepas ini akan digunakan untuk meraih seberapa kemenangan yang boleh bagaimanapun ini semua boleh menjadi realiti jika pemain berkeinginan untuk menang.

"Apa yang paling penting adalah memastikan Selangor tidak terjerumus ke Liga Perdana musim depan seperti apa yang dialami pada 2003," ujarnya.

Satim tidak menolak pelbagai kecaman dilontarkan kepada Selangor sejak kalah teruk 6-1 kepada Perlis dan disusuli kekalahan terbaru kepada Perak.

Ujarnya, tempoh rehat selama 11 hari akan digunakan untuk mencari jalan penyelesaian bagi memastikan Selangor tidak kalah lagi selepas ini.