20.01.06
P Gunalan, Amri dipanggil
Oleh: Berita Harian
Dua pemain Gergasi Merah, P Gunalan dan Amri Yahyah dipanggil semula menyertai skuad bola sepak kebangsaan yang dipenuhi pemain daripada skuad Sukan Sea XXIII lalu.
Skuad kebangsaan di bawah kendalian ketua jurulatih Norizan Bakar dan pembantunya Nasir Yusof, dibentuk untuk menghadapi pusingan akhir Piala Asia 2007 yang mana Malaysia adalah antara empat tuan rumah bersama selain Thailand, Indonesia dan Vietnam.
Sebagai permulaan, pasukan negara akan berdepan New Zealand dalam dua perlawanan persahabatan di Christchurch 19 Februari ini dan Albany dekat Auckland empat hari kemudian.
Amri, pemain sayap Selangor pula sudah menamatkan penggantungan enam perlawanan antarabangsa oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) berikutan insiden dibuang padang kerana meludah seorang pemain Kuwait pada perlawanan kelayakan Piala Dunia di Kuwait City pada 17 November 2004.
Dia beraksi buat skuad Bicskei pada Piala Tiger yang menyaksikan Malaysia menduduki tangga ketiga kerana hukuman hanya dijatuhkan Fifa selepas itu.
Tahun lalu skuad senior Malaysia hanya beraksi enam perlawanan antarabangsa - empat dalam Sukan Perpaduan Islam di Arab Saudi dan dua perlawanan persahabatan dengan Singapura.
Norizan memanggil 10 pemain daripada skuad Sukan Sea Manila yang pulang dengan pingat gangsa - pemain pertahanan K Linggam (Melaka), Ronny Harun (Sabah), V Thirumurugan (Perak), Ahmad Azlan Zainal (Perak), Mat Saiful Mohamad (Pulau Pinang), pemain tengah Zairo Anuar Zalani (Terengganu), Fadzli Saari (Pahang) serta penyerang R Surendran (Perak), Azi Shahril Azmi (Perlis) dan Rudie Ramli (Telekom Melaka).
Tiga muka baru turut dipanggil ke dalam skuad - penjaga gol MPPJ Faizal Rashid, penjaga gol muda Perak, Mohd Nasril Mat Nourdin dan penyerang Kedah, Saramsak Kram. Mereka akan menjalani latihan fasa pertama di Wisma FAM dari 24 hingga 31 Januari ini.
SKUAD NEGARA
Penjaga gol: Syamsuri Mustafa (Terengganu), Faizal Rashid (MPPJ), Mohd Nasril Mat Nourdin (Perak).
Pertahanan: Norhafiz Zamani Misbah (Pahang), Kaironnisam Sahabuddin Hussain (MPPJ), P Gunalan (Selangor), K Linggam (Melaka), Ronny Harun (Sabah), V Thirumurugan (Perak), Ahmad Azlan Zainal (Perak), Mat Saiful Mohamad (Pulau Pinang).
Tengah: Zairo Anuar Zalani (Terengganu), Fadzli Saari (Pahang), K Nanthakumar (MPPJ), Fazli Baharuddin (MPPJ), Amri Yahyah (Selangor), Hardi Jaafar (Telekom Melaka), R Surendran (Perak), Yazli Yahya (TNB Kelantan).
Serangan: Indra Putra Mahayuddin (Pahang), Rudie Ramli (Telekom Melaka), Safee Sali (Sarawak), Azi Shahril Azmi (Perlis),