22.01.06
Perak 2 Selangor 0 (Liga Super)
Oleh: misai117

SELANGOR tewas lagi! Itulah hakikat yang harus diterima penyokong setia pasukan Selangor sesudah pasukan tuan rumah, Perak berjaya mencatat kemenangan 2-0 ke atas skuad Merah Kuning itu di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.
Kekalahan ini menyebabkan Selangor kini terperosok di tangga tercorot TM Liga Super 2005/06 sesudah Pahang berjaya mengutip 3 mata penuh menewaskan Negeri Sembilan dalam perlawanan malam tadi. Tamat 8 perlawanan, Selangor hanya mengutip 6 mata hasil 2 kemenangan dan 6 kekalahan.
Selangor sepatutnya dapat menurunkan pemain import baru dari Senegal, Sheikh Ba dalam perlawanan ini, namun pemain tersebut masih belum mendapat Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC). Justeru itu, Selangor terpaksa menurunkan Saifulnizam Hussain untuk bergandingan bersama Tharmini Saiban di bahagian pertahanan tengah.
Pada separuh masa pertama, Perak berjaya mendapat gol pertama menerusi tandukan daripada ketua pasukan, Kieta Mandjou hasil hantaran silang dari sebelah kanan oleh Danial Fadzly. Gol pada minit ke-28 itu berpunca daripada serangan balas Perak setelah ketua pasukan Selangor, K.Sanbagamaran kehilangan bola ketika cuba melancarkan serangan.
Tidak cukup dengan gol itu, Perak sekali lagi menambah jaringan kedua, juga menerusi Keita Mandjou pada minit ke-41. Gol berpunca apabila hantaran dari sebelah kanan gagal ditangkap kemas penjaga gol Selangor, Jamsari Sabian dan bola muntah tersebut cuba direbut kembali oleh Jamsari dan D.Surendran. Namun, salah faham berlaku di antara kedua-dua pemain Selangor ini dan Keita mudah menolak masuk bola ke gawang untuk tamat separuh masa pertama, Perak mendahului 2-0.
Babak kedua bermula, Selangor mengeluarkan D.Surendran yang cedera dan memasukkan Wan Rohaimi Ismail.
Aksi jentera tengah Selangor masih lagi longgar di mana hantaran-hantaran daripada Nazzab Hidzan dan K.Sanbagamaran gagal menemui Khalid Jamlus, Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes.
Bagi menjana kembali jentera tengah, Dollah Salleh mengeluarkan Nazzab Hidzan bagi memberi peluang kepada pemain muda, Fairuz Montana pada minit ke-65.
Kemasukkan Fairuz Montana sedikit sebanyak membuka ruang untuk Selangor melakukan asakan di kala para pemain Perak mula bermain secara bertahan setelah mendahului dua gol.
Namun, barisan serangan Selangor tetap gagal menembusi benteng terakhir Perak di mana Brian Fuentes terlepas beberapa peluang keemasan, Khalid Jamlus sering kehilangan bola sementara Bambang Pamungkas pula paling kurang mendapat umpanan dari bahagian tengah.
Tamat perlawanan, Selangor tewas lagi dan Dollah Salleh dilihat perlu memikirkan taktik dan strategi yang lebih segar supaya pasukan Merak Kuning tidak terus kalah dalam perlawanan yang akan datang.
Perlawanan seterusnya bagi pasukan Selangor ialah menentang Pahang di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4 Februari depan. Sabtu ini, tiada perlawanan Liga Super berlangsung kerana sambutan Tahun Baru Cina.
SELANGOR: Jamsari Sabian, D Surendran (Wan Rohaimi), Ahmad Tharmini (Nazrul Erwan), Saifulnizam Hussin, P Gunalan, K Rajan, Nazzab Hidzan (Fairuz Montana), K Sanbagamaran (C), Brian Fuentes, Bambang Pamungkas, Khalid Jamlus.
Simpanan tidak digunakan: Shahrizan Ismail, Razman Roslan, Fadhil Hashim, S Sivaram.