15.01.06
Perlis 6 Selangor 1 (Liga Super)
Oleh: misai117

Malang terus menimpa pasukan Selangor apabila tewas teruk di tangan Perlis 1-6 di Stadium Utama, Kangar malam tadi. Tambah parah, Shukor Adan dan Amri Yahyah turut dilayangkan kad merah dalam perlawanan ini.
Minit ke-2, Kalande Kabamba meletakkan Perlis di hadapan apabila menolak masuk bola yang ditepis Jamsari Sabian hasil rembatan awal oleh Phillemon Chepita.
Serentak dengan gol tersebut, para penyokong Selangor telah diserang oleh segelintir penyokong Perlis selain turut dibaling dengan telur tembelang. Seterusnya, Polis mengarahkan kesemua penyokong Selangor ditempatkan di kawasan Grandstand untuk mengelakkan kekacauan yang dibuat penyokong Perlis.
Insiden tersebut menganggu tumpuan para pemain di padang. Akibatnya, sekali lagi gawang gol Selangor bocor lagi, kali ini tandukan Nazaruddin Zain terbias sedikit mengenai kepala Wan Rohaimi dan mengelirukan Jamsari Sabian untuk gol kedua Perlis pada minit ke-5.
Selangor terus tertekan apabila lontaran jauh Adrian Jurad berjaya ditanduk masuk pemain Perlis, mujur Pengadil membatalkan jaringan tersebut selepas Jamsari dikasari terlebih dahulu.
Namun, malang Selangor berterusan apabila pada minit ke-15, Affendi Malek pula berjaya meledakkan gol ketiga Perlis.
Selangor kembali berusaha selepas itu dan hasilnya pada minit ke-24, Brian Fuentes berjaya menanduk sepakan percuma dari sebelah kanan oleh Wan Rohaimi untuk kedudukan 1-3.
Kebangkitan Selangor itu walaubagaimanapun tersekat apabila ketua pasukan, Shukor Adan dilayangkan kad kuning kedua dan seterusnya kad merah selepas mengkasari pemain lawan seminit selepas jaringan tersebut.
Perlis sebaliknya terus selesa dengan gol keempat hasil kelalaian Tharmini Saiban yang membiarkan bola dicuri Phillemon Chepita yang mudah menewaskan Jamsari Sabian pada minit ke-44.
Tamat separuh masa pertama, Perlis mendahului 4-1.
Babak kedua bermula, Dollah Salleh memasukkan Surendran bagi menggantikan Wan Rohaimi.
Pada minit ke-52, Perlis berjaya membunuh sisa perjuangan Selangor apabila Phillemon Chepita sekali lagi berjaya melakukan penyudahan yang tepat sesudah bijak memperdayakan Saifulnizam Hussain.
Seterusnya, Selangor melakukan pertukaran, memasukkan Amri menggantikan Elie Aiboy dan Nazrul Erwan menggantikan Saifulnizam, namun masih gagal mencari gol.
Pemain gantian, Amri Yahyah turut bernasib malang apabila dilayangkan dua kad kuning seterusnya kad merah setelah mengangkat kaki mengenai badan pemain Perlis pada minit ke-83.
Bermain dengan 9 pemain, Selangor terus tertekan dan bolos lagi pada minit-minit akhir permainan apabila Phillemon Chepita menjaringkan gol keenam Perlis dan hatrik bagi dirinya.
Malang Selangor berterusan apabila bas pemain dan bas penyokong pula dibaling batu sepanjang perjalanan menuju ke Leburaya Utara Selatan (PLUS). Beberapa keping cermin bas mengalami keretakan dan hampir pecah akibat terkena batu yang dibaling puluhan kali oleh penyokong Perlis yang dilihat agak tidak mempunyai semangat kesukanan.
SELANGOR: Jamsari, Rohaimi (Surendran), Saiful (Nazrul), Tharmini, Gunalan, Elie (Amri), Sanbagamaran, Shukor, Nazzab, Fuentes, Bambang.
Simpanan: Shahrizan, Surendran, Nazrul, Amri, Montana, Fadhil, Rajan.