19.01.06
Satim, Dollah diminta bertindak
Oleh: Berita Harian
Masalah yang timbul ini mesti ada yang mulakan. Kalau penyakit, ia bermula daripada jangkitan. Jadi, dalam pasukan Selangor, ada juga jangkitan yang melarat.
"Sebab itu saya harap pengurus (Datuk Satim Diman) dan ketua jurulatih (Dollah Salleh) mengambil tindakan kerana bagi saya, jika ada jangkitan, kita kena buang (rawat) jangkitan itu sebelum merebak.
“Ini paling penting," demikian analogi mudah Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo mengenai kenyataannya sebelum ini berhubung prestasi buruk skuadnya pada pusingan pertama Liga Super musim ini.
Dr Mohamad Khir yang berpendidikan dalam bidang perubatan itu berkata, pasukan Selangor tidak bermasalah jika dilihat daripada segi penampilan luaran. Baginya, skil bermain bola sepak tidak boleh hilang dalam masa semalaman.
"Kalau kita boleh main bola, takkan esok kita tidak boleh main bola.
Jadi, masalah yang dihadapi Selangor ialah masalah dalaman. Masalahnya, pasukan tidak tunjuk komitmen penuh dalam perlawanan.
"Sebab itu kita nyatakan mereka kena selesaikan masalah ini," katanya ketika ditemui di Shah Alam, semalam, bagi mengulas kenyataan Dollah yang dia tidak nampak sesuatu yang tidak kena di kalangan pemain.
Pendapat Dollah itu reaksi daripada kenyataan Dr Mohamad Khir sebelum itu yang tidak menolak kemungkinan ada rasa tidak puas hati sesama pemain, selain penghasut di kalangan mereka sehingga menyebabkan prestasi Merah Kuning merosot.
Dr Mohamad Khir mempertahankan pendapatnya ada sesuatu yang tidak kena apabila prestasi pasukan yang sebelum ini cemerlang dengan pemain berdisiplin tinggi tiba-tiba jatuh merudum.
Tanpa menuding jari kepada mana-mana pemain, beliau berkata, banyak tindakan boleh diambil bagi `merawat' jangkitan penyakit yang dialami Selangor ketika ini.
"Mungkin kita tidak boleh buang (pemain) tetapi boleh ambil tindakan lain yang kita anggap dapat menyedarkan mereka bahawa bermain bola dengan Selangor kerana cintakan sukan dan sayangkan peminat," katanya.