25.01.06
Selangor 3 SAFFC 0 (Persahabatan)

Selangor menggunakan kesempatan rehat dua minggu saingan TM Liga Super 2005/06 dengan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan kelab dari Liga Singapura, Singapore Armed Forces Football Club (SAF FC) di Padang PKNS, Kelana Jaya malam tadi.
Keputusan perlawanan, Selangor menang 3-0 hasil jaringan pada babak kedua oleh Brian Fuentes, Amri Yahyah dan S.Sivaram.
Babak pertama, Dollah Salleh meletakkan Shahrizan Ismail selaku penjaga gol, barisan pertahanan dibarisi Wan Rohaimi (kanan), Sheikh Ba (tengah), Nazrul Erwan (tengah) dan Fadhil Hashim (kiri), sementara barisan tengah pula dikemudi K.Rajan (kanan), Shukor Adan (tengah), Fairuz Montana (tengah), Amri Yahyah (kiri) dan barisan serangan menggandingkan Brian Fuentes dan
Bambang Pamungkas.
Aksi pada babak pertama menyaksikan jentera tengah berfungsi dengan baik dengan Fairuz Montana dan Shukor Adan dilihat berjaya menguasai barisan tengah dan berjaya melancarkan serangan demi serangan ke kubu lawan.
Namun, sehingga tamat separuh masa pertama, keputusan terikat 0-0.
Separuh masa kedua bermula, Selangor kekal dengan pemain yang sama, sementara SAF FC sudah mula melakukan pertukaran demi pertukaran pemain.
Pada minit ke-60, Selangor berjaya mendapat gol pertama menerusi Brian Fuentes yang pantas menyambar bola muntah daripada penjaga gol lawan.
Sejurus jaringan tersebut, Dollah Salleh melakukan pertukaran demi pertukaran. Hasilnya, Shahrizan masih kekal di gawang, barisan pertahanan menggandingkan Aiman Firdaus (kanan), Sheikh Ba (tengah), Saifulnizam Hussain (tengah) dan Tharmini Saiban (kiri), sementara barisan tengah pula dikemudi Razman Roslan (kanan), K.Sanbagamaran (tengah), Nazzab Hidzan (tengah), S.Sivaram(kiri) dan barisan serangan menggandingkan Brian Fuentes dan Amri Yahyah.
Pertukaran posisi Amri Yahyah daripada sayap kiri ke penyerang selepas Bambang Pamungkas dikeluarkan menyaksikan beliau berjaya menjaringkan gol kedua Selangor menerusi rembatan cantik pada minit ke-70 untuk kedudukan 2-0.
Selepas jaringan tersebut, barisan tengah Selangor kendalian K.Sanbagamaran dan Nazzab Hidzan kelihatan mula goyah dan sering melakukan hantaran-hantaran yang tidak kesampaian. Sebaliknya, jentera tengah SAF FC yang dikemudi pemain import dari Thailand, Therdsak Chaiman mula menguasai bahagian tengah.
Namun, segalanya berakhir buat SAF FC apabila pada minit ke-85, S.Sivaram menjadi pemusnah apabila beliau melakukan gerakan solo dari tengah padang dan disudahkan dengan rembatan leret untuk Selangor selesa di hadapan dengan 3-0.
Secara keseluruhan, aksi pemain pertahanan import baru Selangor dari Senegal, Sheikh Ba dilihat agak mantap dan mendapat pujian daripada penonton yang hadir malam tadi. Sheikh Ba begitu tenang mematahkan segala asakan daripada jentera serangan SAF FC yang dikemudi ketua pasukan, Aleksandar Duric dan Noor Ali.
Lima pemain tidak beraksi malam tadi adalah Jamsari Sabian, Khalid Jamlus, P.Gunalan, D.Surendran dan Elie Aiboy.