Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
31.01.06

Selangor 5 Kuala Lumpur 2 (Persahabatan)

Oleh: misai117

SELANGOR berjaya menewaskan Kuala Lumpur 5-2 dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium KLFA, Cheras malam tadi. Brian Fuentes berjaya menyumbat dua gol sementara Bambang Pamungkas, Elie Aiboy dan K.Rajan masing-masing menyumbangkan satu gol.

 

Separuh masa pertama, Selangor menurunkan Shahrizan Ismail selaku penjaga gol. Barisan pertahanan terdiri daripada Wan Rohaimi, Sheikh Ba, Nazrul Erwan dan Fadhil Hashim. Jentera tengah pula dikemudi K.Rajan, Shukor Adan, K.Sanbagamaran dan Elie Aiboy sementara Brian Fuentes dan Bambang Pamungkas mengetuai barisan serangan.

 

Babak awal permainan agak hambar kerana tiada gerakan-gerakan menarik disajikan oleh kedua-dua pasukan.

 

Akhirnya pada minit ke-25, Bambang Pamungkas berjaya menanduk masuk hantaran silang dari sebelah kanan oleh K.Rajan untuk Selangor mendahului 1-0.

 

Selepas gol tersebut, jentera tengah Selangor kendalian Shukor Adan dan Sanbagamaran masih gagal menjana gerakan menarik ke kubu lawan. Tetapi, hasil satu serangan balas, Kuala Lumpur berjaya mendapatkan sepakan penalti selepas penyerang mereka dijatuhkan oleh pertahanan Selangor, Fadhil Hashim.

 

Sepakan penalti pada minit ke-40 itu gagal diselamatkan oleh Shahrizan Ismail untuk kedudukan terikat 1-1 hingga waktu rehat.

 

Bermula babak kedua, Selangor mengekalkan kesebelasan yang sama. Tidak sampai 5 minit permainan bersambung, Selangor berjaya mendapatkan gol kedua apabila rembatan kencang Shukor Adan gagal ditangkap kemas penjaga gol Kuala Lumpur, Sairul Amar Sudar dan berjaya ditolak masuk oleh Brian Fuentes untuk kedudukan 2-1.

 

Selepas itu, giliran Elie Aiboy pula merembat leret untuk gol ketiga Selangor selang beberapa minit kemudian.

 

Kedudukan selesa 3-1, Dollah Salleh mengeluarkan Shukor Adan, K.Sanbagamaran dan Shahrizan Ismail bagi memasukkan Fairuz Montana, Nazzab Hidzan dan Jamsari Sabian.

 

Namun, Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain sesudah Nazrul Erwan dilayangkan kad kuning kedua seterusnya kad merah kerana mengasari penyerang lawan. Sepakan percuma yang diberi pengadil, menyaksikan rembatan kencang pemain Kuala Lumpur hanya mampu ditampan oleh Jamsari Sabian seterusnya ditolak masuk pemain Kuala Lumpur untuk gol kedua mereka dan kedudukan menjadi 3-2.

 

Beraksi 10 pemain bukan bermakna pemain-pemain Selangor akan bermain secara bertahan. Sebaliknya pula yang berlaku apabila jentera tengah Selangor dilihat mudah menguasai permainan.

 

Hasilnya, pada minit ke-75, Selangor berjaya mendapatkan gol keempat menerusi tandukan cantik daripada Brian Fuentes.

 

Selepas jaringan tersebut, Selangor melakukan beberapa lagi pertukaran pemain.

 

K.Rajan melengkapkan malam cemerlang buat Selangor apabila menjaringkan gol kelima pada minit-minit akhir perlawanan untuk kedudukan muktamad, Selangor menewaskan Kuala Lumpur 5-2.