19.01.06
Selangor dihantui badi
Oleh: Harian Metro
Benarkah badi sebagai penyandang tiga piala termasuk Piala Malaysia musim lalu menghantui skuad Selangor yang kini terperosok di tangga kedua tercorot Liga Super selepas berakhirnya pusingan pertama musim ini.
Rentetan kekalahan demi kekalahan skuad Merah Kuning itu dengan aib paling besar disajikan Perlis, pasukan yang mereka tewaskan di final Piala Malaysia musim lalu, 6-1 di Stadium Utama Kangar, Sabtu lalu, mengakibatkan cabaran pasukan bimbingan, Dollah Salleh itu, dipandang enteng pasukan lain dalam Liga Super.
Apakah sebenarnya yang tidak kena musim ini kerana Selangor mempunyai jurulatih terbaik, pengurus terbaik dan pemain import serta barisan tempatan terbaik yang diberikan suntikan moral terbaik apabila menerima kenaikan gaji sebanyak 20 hingga 30 peratus selepas kejayaan gemilang yang digapai musim lalu?
Langkah sumbang Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), bermula selepas menjuarai Piala Malaysia, apabila kunjungan ke Australia selama tiga minggu gagal membantu mereka mempersiapkan diri sebagai pasukan mantap, tatkala pasukan lain berlumba-lumba menghambat pemain tempatan dan import terbaik.
Selangor yang masih mengekalkan tiga pemain import iaitu penjaring terbanyak, Bambang Pamungkas, sayap kanan lincah, Elie Aiboy dan penyerang prolifik dari Argentina, Brian Fuentes, serta hampir sebahagian besar pemain tempatan, terperangkap dengan tiga piala yang mereka dakap lalu.
Selepas pulang dari Australia, pemain bukan saja dipersiapkan untuk saingan Liga Super yang lebih mencabar, tapi perlu menghadiri pelbagai majlis di merata tempat bagi meraikan kejayaan paling gemilang dalam sejarah bola sepak Malaysia itu.
Dollah sendiri mengakui, kegagalan mencari rentak kemenangan musim ini berpunca daripada kesuntukan masa untuk melengkapkan pemainnya daripada segi mental dan fizikal.
“Masa terhad untuk menyediakan satu pasukan yang lengkap dan mantap ini menyebabkan kami gagal menyaingi pasukan lain yang lebih bersedia,” katanya.
Faktor jadual ketat yang diharungi skuad Merah Kuning itu musim lalu, beraksi dalam Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia, tetapi mereka berjaya menjuarai semua piala itu, dibayar dengan harga begitu mahal sekali apabila kudrat pemain mereka nyata gagal menandingi kepantasan dan kelicikan pasukan lain.
Pengurus pasukan Selangor, Datuk Satim Diman, berkata kegagalan beraksi pada tahap terbaik musim ini disebabkan pemain ‘tersentak’ dengan tiga piala yang dimenangi musim lalu.
“Jika tahun lalu, pemain begitu berkobar-kobar untuk memenangi piala ini, musim ini mereka masih lagi dibuai kenangan sebagai pasukan juara,” katanya.
Bagaimanapun, isu paling hangat diperkatakan ialah kegagalan skuad Selangor mendapatkan pemain import keempat yang berkualiti, tidak seperti pasukan lain.
Sejak tirai perpindahan dibuka, Selangor menguji lebih dari lima pemain iaitu dari negara Amerika Selatan dan Afrika Selatan, tetapi semuanya yang datang untuk diuji, hanya mempunyai kelebihan dari segi saiz fizikal semata-mata.
Paling malang sekali apabila pemain import pertahanan yang menarik perhatian mereka, Emmanuel Jones Felix dari Ivory Coast, terpaksa dihantar pulang selepas disahkan menghidap Hepatitis B.
Kali ini, mereka menguji pula, pertahanan dari Senegal, Sheikh Ba, 32, anak kepada penyerang kebangsaan negara itu, Ibrahim Ba, tetapi dalam dua aksi perlawanan persahabatan menentang skuad Piala Presiden Selangor dan PKNS, minggu ini, ternyata dia gagal untuk dilabel sebagai pertahanan yang mampu dikagumi.
Biarpun Selangor masih mempunyai peluang kerana akan mengharungi 14 perlawanan lagi di pusingan kedua dan ketiga, mereka mesti menghapuskan semua kemelut ini secepat mungkin bagi mengelakkan peristiwa 2003 berulang apabila tersingkir ke Liga Perdana, biarpun pada 2002 mereka bermegah dengan kejuaraan Piala Malaysia, kerana tiga piala musim 2005 tidak menjamin pencapaian membanggakan musim ini.