Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
21.01.06

Selangor perlu sahut cabaran

Oleh: Harian Metro

Amaran keras Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, terhadap prestasi mundur skuad Merah Kuning dalam Liga Super ketika ini, perlu dijadikan cabaran besar buat pemain mencatat kejayaan dalam saingan pusingan kedua menentang Perak di Ipoh, malam ini.

Jurulatihnya, Dollah Salleh, berkata sebagai individu yang mengambil berat prestasi pasukan Gergasi Merah itu, Dr Mohamad Khir berhak menegur skuad berkenaan berikutan prestasi mengecewakan musim ini.

“Memang kami gagal memberikan yang terbaik ketika ini dan kami perlu menerima kritikan dari pelbagai pihak.

“Tetapi, saya menyatakan kepada pemain supaya jadikan semua teguran ini sebagai satu cabaran untuk membakar semangat bagi memenangi perlawanan ke atas Perak, malam esok (ini),” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Dollah berkata, semua pemain memberi fokus utama terhadap perlawanan menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh, malam esok, kerana ia amat penting dalam usaha membaiki kedudukan dalam Liga Super di pusingan kedua ini.

“Kami mesti menang kerana jika tewas kami akan terus ketinggalan.

“Ini menyedarkan pemain bahawa kedudukan Selangor ketika ini tidak selamat dan kerana itu mereka berjanji untuk turun bermati-matian untuk memenangi perlawanan ini,” katanya.

Selepas tewas 4-1 di pusingan pertama lalu, Selangor akan turun tanpa kapten, Shukor Adan dan Amri Yahyah yang digantung dua perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika menentang Perlis, minggu lalu.

Skuad Merah Kuning itu bertambah parah selepas pemain sayap lincah dari Indonesia, Elie Aiboy dan pertahanan kental, Nazrulerwan Makmor, mengalami kecederaan tumit dan tidak akan diturunkan.

“Apa yang penting sekali ialah pemain mesti beraksi dalam keadaan tenang dan tanpa tekanan supaya setiap taktikal yang direncanakan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 300 ahli Kelab Zoro-Wiro Selangor FC, akan berkunjung ke Stadium Perak, hari ini, bagi memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka itu.