12.02.06
MPPJ 3 Selangor 2 (Liga Super)
Oleh: misai117
NASIB malang Selangor berterusan apabila tewas 2-3 di tangan pasukan MPPJ dalam perlawanan TM Liga Super 2005/06 di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya malam tadi. Meskipun Selangor beraksi cemerlang dan menguasai permainan, pengadil telah merosakkan perlawanan tersebut.
Selangor mengekalkan formasi 3-5-2 yang digunakan dalam perlawanan TM Piala FA menentang MPSJ Rabu lepas dengan menurunkan kesebelasan yang sama kecuali memasukkan Saifulnizam menggantikan Tharmini Saiban.
Bagaimanapun, MPPJ terlebih dahulu berada di hadapan, apabila Haris Safwan menjaringkan gol pertama MPPJ pada minit ke-19. Gol berpunca apabila Fairuz Montana kehilangan bola dari kawasan tengah dan lorongan pemain tengah MPPJ kepada Haris Safwan membolehkan beliau melepaskan diri dari perangkap offside seterusnya merembat leret menewaskan penjaga gol Selangor, Shahrizan Ismail.
Selangor meskipun menguasai permainan separuh masa pertama, namun masih gagal mencari gol penyamaan sehingga waktu rehat.
Babak kedua bermula, Selangor terus mengasak. Hasilnya, pada minit ke-55, sepakan percuma Elie Aiboy dari sebelah kiri berjaya ditanduk masuk oleh Amri Yahyah untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Namun, 10 minit kemudian, bola hantaran lintang pemain sayap MPPJ dari sebelah kanan gagal diagak tepat oleh Cheick Ba sebaliknya bola tepat ke arah Juan Manual Arostegui yang tenang menyudahkan jaringan kedua MPPJ.
Ketinggalan 1-2, Selangor terus mengasak. Pada minit ke75, Bambang Pamungkas berjaya melepasi perangkap offside dan hanya berhadapan dengan penjaga gol MPPJ, namun penjaga garisan membuat tindakan yang kurang wajar kerana mendakwa Bambang berada dalam keadaan offside.
Segalanya tambah sukar, setelah pengadil sengaja 'menghadiahkan' sepakan penalti kepada pasukan MPPJ pada minit ke-84. Penjaga gol Selangor menerjah tepat dan menangkap kemas bola tatkala Haris Safwan cuba mengelak terjahan Shahrizan dan jatuh berguling-guling tanpa disentuh langsung penjaga gol Selangor itu. Namun, pengadil memberikan sepakan penalti dan ia mudah disempurnakan Juan Manual Arostegui untuk kedudukan MPPJ mendahului 3-1.
Pemain gantian, Nazzab Hidzan berjaya merapatkan kedudukan 2-3 pada minit ke-86 apabila rembatan deras beliau dari luar kotak penalti gagal ditangkap kemas penjaga gol MPPJ, Faizal Rashid.
Di penghujung saingan, Bambang Pamungkas mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan, namun rembatannya berjaya dihadang pertahanan MPPJ.
Keputusan muktamad, Selangor tewas 2-3 dalam perlawanan yang dicemari corak pengadilan yang amat mengecewakan.
SELANGOR:
22-Shahrizan Ismail, 5-Nazrul Erwan (2-Tharmini Saiban), 16-Cheikh Ba, 6-Saifulnizam Hussain, 3-Razman Roslan, 8-Elie Aiboy, 11-Fairuz Montana (7-Nazzab Hidzan), 25-Shukor Adan, 4-Fadhil Hashim, 17-Amri Yahyah, 20-Bambang Pamungkas.