Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
08.02.06

MPSJ 0 Selangor 4 (Piala FA P1 L1)

Oleh: misai117

 

BAMBANG Pamungkas berjaya menemui semula sentuhan pemusnahnya apabila meledakkan empat gol untuk membantu Selangor mencatat kemenangan 4-0 ke atas Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam perlawanan pertama, Pusingan Pertama TM Piala FA 2005/06 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

 

Seperti dijanjikan, Dollah Salleh merombak barisan kesebelasan utamanya dengan menggunakan formasi 3-5-2 buat pertama kali. Shahrizan Ismail sebagai penjaga gol, pertahanan dikepalai Cheikh Ba, Nazrul Erwan dan Tharmini Saiban, sementara Razman Roslan dan Fadhil Hashim masing-masing bertindak sebagai sayap kanan dan sayap kiri, Shukor Adan bersama-sama Elie Aiboy dan Fairuz Montana di bahagian tengah manakala serangan diterajui Bambang Pamungkas dan Amri Yahyah.

 

Babak awal perlawanan menyaksikan Selangor menguasai permainan dan pemain sayap kanan, Razman Roslan yang turun buat pertama kali musim ini, terlepas dua peluang keemasan untuk menjaringkan gol.

 

Pada minit ke-11, Bambang Pamungkas berjaya menjaringkan gol pertama apabila hantaran silang Amri Yahyah dari sebelah kiri tepat kepada Fairuz Montana. Percubaan Montana dihadang pertahanan MPSJ dan rembatan susulan daripada Bambang berjaya menggegarkan jaring gol.

 

Selepas itu, Nazrul Erwan pula terhincut-hincut mengalami kecederaan setelah bertembung dengan pemain MPSJ. Nazrul terpaksa dikeluarkan dan tempatnya digantikan oleh Saifulnizam Hussain.

 

Selangor memperoleh gol kedua menerusi sepakan penalti Bambang Pamungkas pada minit ke-37. Sepakan penalti diberikan pengadil setelah Fairuz Montana disiku dalam kotak penalti MPSJ.

 

Pada minit ke-40, Selangor terus selesa di hadapan apabila sepakan sudut Elie Aiboy tepat kepada Bambang Pamungkas. Tandukan Bambang berjaya ditampan penjaga gol lawan namun sepakan susulan daripada Bambang berjaya menewaskan penjaga gol MPSJ itu.

 

Tamat separuh masa pertama, Selangor mendahului MPSJ 3-0.

 

Selangor seterusnya mengeluarkan Razman Roslan pada minit ke-58 untuk memberi peluang kepada Wan Rohaimi Ismail.

 

Permainan separuh masa kedua semakin hambar kerana jentera serangan Selangor dilihat kurang bernafsu untuk menambah jaringan sebaliknya pemain import MPSJ, Miroslav Toth sering mengucarkacirkan pertahanan Selangor.

 

Akhirnya pada minit ke-84, Selangor berjaya menambah gol keempat juga menerusi Bambang Pamungkas. Gol berpunca daripada serangan balas yang dimulakan oleh Fairuz Montana yang melebarkan bola kepada Shukor Adan. Shukor kemudiannya melorong leret bola tepat ke arah Bambang yang pantas menyudahkan umpanan tersebut.

 

Kemenangan 4-0 ini berjaya mengembirakan hampir 500 penonton sahaja yang hadir pada malam tadi. Meskipun mencatat kemenangan besar, namun banyak lagi kelemahan ketara yang dapat dilihat pada jentera tengah pasukan Selangor.

 

 

Kesebelasan Selangor:

 

22-SHAHRIZAN, 2-THARMINI, 5-NAZRUL (6-SAIFUL), 16-CHEIKH BA, 3-RAZMAN (9-ROHAIMI), 25-SHUKOR, 11-MONTANA, 8-ELIE (24-RAJAN), 4-FADHIL, 17-AMRI, 20-BAMBANG.

 

Simpanan tidak digunakan:

 

1-JAMSARI, 18-AIMAN, 7-NAZZAB, 25-KHALID.