09.02.06
Selangor 2 Kelantan 0 (Piala Presiden)
Oleh: misai117
SELANGOR meneruskan kecemerlangan dalam saingan TM Piala Presiden 2005/06 setelah menumpaskan juara bertahan, Kelantan dengan jaringan 2-0 pada perlawanan ketiga mereka di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang tadi.
Dua gol pada babak pertama masing-masing menerusi Abdul Hadi Yahya dan S.Sritharan sudah cukup untuk memberi kemenangan ketiga berturut-turut buat skuad Selangor musim ini.
Gol pertama hadir pada minit ke-20 apabila Selangor melakukan serangan balas dan Abdul Hadi Yahya bijak mengawal bola sebelum meledakkan rembatan deras menewaskan penjaga gol Kelantan.
5 minit kemudian, giliran S.Sritharan pula meletakkan nama beliau dalam senarai penjaring. Berpunca daripada hantaran rendah dari sebelah kanan oleh Amirul Hadi Zainal, S.Sritharan terus merembat kencang tepat ke dalam gawang gol Kelantan untuk kedudukan 2-0.
Gol tersebut merupakan gol peribadi keempat buat S.Sritharan musim ini.
Babak kedua, Kelantan lebih banyak menguasai permainan dan sering menguji ketahanan benteng pertahanan Selangor yang diterajui ketua pasukan, Abdul Ghani Abdul Rahman yang beraksi cemerlang petang tadi.
Sehingga wisel penamat, Kelantan gagal menembusi gawang Selangor yang dikawal Syed Adney Syed Hussein dan keputusan muktamad, Selangor menang 2-0.
Selangor akan bertandang ke Stadium Pasir Gudang menentang Johor FC untuk perlawanan keempat pada hari Khamis depan.
Selangor:
1-SYED ADNEY, 12-MUHAMAD NOOR, 3-ABDUL GHANI, 17-MOHD ZAIZA, 5-AIZULRIDZWAN, 25-AMIRUL HADI (16-THARUMARAJAH), 2-NAVEEN (7-ZULBADLY), 24-MOHD FAZILIDIN, 23-WAN HOESNE (9-ADIB AIZUDDIN), 19-SRITHARAN, 20-ABDUL HADI.