Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
11.03.06

Dollah kekal barisan Piala AFC

Oleh: Berita Harian

Barisan yang menewaskan Tampines Rovers dalam saingan Piala AFC Rabu lalu akan terus diberi kepercayaan oleh Dollah Salleh membuktikan wibawa mereka sekali lagi tatkala Selangor bertandang ke Negeri Sembilan untuk aksi Liga Super malam ini.

Jurulatih Selangor itu berkata, kecuali beberapa posisi yang memerlukan rombakan kecil, dia menaruh keyakinan kepada barisan terbabit untuk menjana kebangkitan skuad itu dalam misi mereka mencatat kemenangan sulung dalam Liga Super selepas lima kekalahan berturut-turut dan hanya menang dua kali daripada 11 perlawanan setakat ini.

“Saya harap kemenangan ke atas Tampines Rovers itu mampu menyemarakkan mereka untuk meraih kemenangan ke atas Negeri Sembilan pula.

“Saya telah cuba segala-galanya sebelum ini, tetapi kemenangan masih juga tidak terjelma dan diharap kali ini ia akan menjadi kenyataan,” katanya.

Selangor menurunkan tiga tonggak import - Bambang Pamungkas, Brian Fuentes dan Elie Aiboy yang dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menewaskan Tampines Rovers 1-0, tetapi untuk perlawanan menentang Negeri Sembilan malam ini, Dollah kemungkinan merehatkan salah seorang daripada mereka untuk memberi laluan kepada pertahanan dari Senegal, Cheikh Ba.

Begitupun, jentera tengah yang diketuai kapten Shukor Adan, bergandingan dengan Amri Yahyah, D Surendran dan Razman Roslan hampir pasti dikekalkan selepas skuad itu masih belum berupaya menurunkan tonggak tengah berpengalaman K Sanbagamaran dan P Gunalan yang masih cedera.

Selangor tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan dalam aksi pusingan pertama Liga Super di Stadium Nasional Disember lalu dan kali ini Dollah amat berharap anak buahnya membuktikan kemenangan yang dicatat dalam saingan Piala AFC itu benar-benar petanda bahawa Selangor sudah bangkit.

“Saya masih belum berani katakan bahawa Selangor sudah bangkit hasil daripada hanya satu kemenangan.

“Oleh itu, saya amat berharap pemain dapat meneruskan kemenangan itu dalam saingan Liga Super pula sebagai bukti kebangkitan sebenar Selangor,” kata Dollah.