12.03.06
Negeri Sembilan 2 Selangor 1 (Liga Super)
Oleh: BERNAMA
NEGERI Sembilan menambah derita Selangor apabila menewaskan pasukan itu 2-1 pada perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, Sabtu malam.
Kekalahan ke-10 musim ini menyebabkan Selangor terus terperosok di tangga tercorot liga dengan enam mata sahaja manakala Negeri Sembilan kekal di tangga ketiga liga dengan mengumpul 21 mata.
Negeri Sembilan mula mengasak sejak sepak mula tetapi mendapati benteng pertahanan Selangor sukar dibolosi.
Bagaimanapun, asakan Negeri Sembilan membuahkan hasil apabila sepakan kencang Rahman Zabul dari jarak 20 meter menggegar jaring setelah bola dikuis Aidil Zafuan Abdul Razak seawal minit keempat.
Gol pembukaan tersebut terus membakar semangat pasukan tuan rumah untuk terus memburu jaringan.
Pada minit ke-11, Selangor terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan apabila Brian Fuentes gagal menyempurnakan bola yang terlepas dari cengkaman penjaga gol Azizon Abdul Kadir.
Usaha serangan mantap Negeri Sembilan itu berhasil apabila Cik Hisammudin Hassan menjaringkan gol kedua pada minit ke-41 setelah berjaya memperdayakan pemain pertahanan Selangor Nazrul Erwan Makmor.
Walaupun ketinggalan dua gol, Selangor enggan menyerah kalah dan terus menggandakan asakan pada babak kedua tetapi barisan pertahanan Negeri Sembilan yang diterajui ketua pasukan Khairul Anuar Baharum tidak mudah goyah.
Namun Selangor akhirnya berjaya merapatkan jurang jaringan pada minit ke-90, hasil tendangan percuma K.Rajan yang dikuis masuk oleh K.Sanbagamaran.
SELANGOR:
22-Shahrizan, 5-Nazrul Erwan (6-Saifulnizam), 16-Cheikh Ba, 9-Wan Rohaimi, 19-Surendran (2-Tharmini), 12-Sanbagamaran, 25-Shukor, 17-Amri, 10-Fuentes, 20-Bambang (24-K.Rajan), 23-Khalid.
SIMPANAN TIDAK DIGUNAKAN: 21-Azlisham, 3-Razman, 7-Nazzab, 11-Montana.