05.03.06
Selangor 0 Pulau Pinang E&O 2 (Liga Super)
Oleh: misai117
TM Liga Super sudah memasuki 11 perlawanan, namun Selangor makin terperosok di dasar liga ekoran kekalahan 0-2 kepada Pulau Pinang E&O di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Dollah Salleh (gambar) ternyata sudah kehabisan idea dan taktikal untuk dicurahkan kepada anak buahnya yang mempamerkan aksi longlai, longgar dan tidak bermaya sepanjang perlawanan.
Akibatnya, dua gol lewat pasukan pelawat menerusi Farizal Razali (Minit 83) dan Mat Saiful Mohamad (Minit 85) sudah cukup menambah sengsara skuad merah kuning.
Dengan kekalahan ini, Selangor kekal dengan 6 mata hasil dua kemenangan untuk terus berada di tangga ke-8 sedangkan pasukan di tangga ke-6 dan ke-7, Perlis dan Pahang masing-masing sudah memiliki 14 dan 12 mata.
Baki 10 perlawanan bakal menentukan nasib Selangor sama ada mampu kekal di kelompok enam pasukan yang akan kekal di Liga Super atau kembali mewarnai saingan Liga Perdana musim depan, andai terus berada pada kedudukan ke-7 atau ke-8.
Selasa ini, Selangor akan memulakan kempen Piala Asia 2006 dengan menentang pasukan Tampines Rovers dari Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil jam 8.45 malam.
KEPUTUSAN PERLAWANAN LAIN TM LIGA SUPER MALAM TADI:
Perlis 1-0 MPPJ
Perak 2-0 Pahang
Negeri Sembilan Naza 1-0 TM Melaka