Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
26.03.06

Selangor 1 Perlis 0 (Liga Super)

Oleh: BERNAMA

GOL Liga Malaysia ke 50 Bambang Pamungkas membantu Selangor memperolehi kemenangan tipis apabila menumpaskan Perlis 1-0 pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Separuh masa pertama menyaksikan tuan rumah mempunyai peluang untuk menghasilkan gol awal pada minit ke-27 menerusi Mohd Amri Yahyah yang berjaya melepaskan diri meluru menahan hantaran Bambang Pamungkas sebelum rembatannya berjaya disambar penjaga gol Perlis, Mohd Amran Omar.

Lapan minit kemudian, K.Sanbagamaran mensia-siakan peluang terbuka di depan pintu apabila merembat liar jauh melepasi palang gol sepakan percuma yang diambil pemain import dari Indonesia, Elie Aiboy.

Seminit sebelum babak pertama berakhir, skuad singa utara hampir memperolehi jaringan menerusi tandukan pemain import dari Zambia, Phillimon Chipeta yang menerima hantaran dari Mohd Arsyah Mohd Ayob namun tandukan itu melewati palang gol Selangor.

Seawal babak kedua bermula, jurulatih gergasi merah kuning membuat pertukaran di bahagian tengah dengan mengeluarkan ketua pasukan Muhammad Shukor Adan yang cedera dan digantikan dengan Nazzab Hidzan.

Serangan tanpa henti dari juara "treble" itu akhirnya berjaya menggegar gawang pelawat apabila rembatan Bambang pada minit ke-58 hasil hantaran Elie dan Amri berjaya menewaskan penjaga gol Perlis.

Gawang Mohd Amran hampir dibolosi lagi apabila dibiar kosong, namun pemain gantian Muhammad Khalid Jamlus yang dimasukkan bagi menguatkan bahagian serangan gagal menyempurnakan peluang pada minit ke-74 apabila sepakan lemahnya berjaya diselamatkan oleh Mohd Feriza Ismail.

Jurulatih Perlis, Abdul Rahman Ibrahim memasukkan Mohd Rafdi Abdul Rashid bagi menguatkan bahagian serangan tetapi kekebalan pertahanan dan ketangkasan penjaga gol Selangor, Jamsari Sabian berjaya mematahkan beberapa serangan berbahaya pasukan pelawat.

 

SELANGOR:

 

1-Jamsari, 2-Tharmini, 6-Saiful, 16-Cheikh Ba, 19-Surendran, 8-Elie, 12-Sanba, 25-Shukor (7-Nazzab), 24-Rajan (23-Khalid), 17-Amri (11-Montana), 20-Bambang.