17.03.06
Selangor 5 TM Melaka 2 (Liga Super)
Oleh: Bernama

TUAN rumah, Selangor memperolehi kemenangan ketiga selepas 12 perlawanan apabila menumpaskan Melaka Telekom, 5-2 pada perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini Jumaat malam.
Selangor yang bermula garang hampir membolosi gawang pelawat seawal empat saat perlawanan bermula namun rembatan itu berjaya ditepis penjaga gol Melaka Telekom, Khairul Izwan Jamaludin.
Selepas hampir buntu mengatur strategi membolosi kekebalan Khairul Izwan, pasukan "Gergasi Merah Kuning" akhirnya berjaya memperolehi gol pertamapada minit ke-38 melalui pemain senior, K. Sanbagamaran yang menguis bola di hadapan pintu gol.
Dua minit selepas itu, D. Surendran menyambar bola muntah yang ditepis penjaga gawang sebelum merembat kencang menumpaskan Khairul Izwan yang masih berada dalam kekeliruan.
Dalam keghairahan Melaka Telekom menyekat kemaraan tuan rumah, pemainnya Mohd Khairul Anuar Jamil dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-42 kerana mengasari Surendran.
Pasukan pelawat yang masih terkejut dengan hukuman itu sekali lagi menerima padah pada minit ke-43, menerusi penyerang import sensasi dari Indonesia, Bambang Pamungkas yang menambah derita Melaka Telekom apabila menghasilkan gol ketiga.
Enam minit selepas wisel babak kedua bermula, Bambang sekali lagi meledak gol Melaka Telekom apabila menguis lorongan cantik rakan senegaranya, Elie Aiboy.
Minit ke-58, menyaksikan gol pasukan pelawat menerusi kapten pasukan, Mohd Hardi Jaafar yang membuat percubaan dari tengah padang terus ke dalam gawang menumpaskan Azlisham Ibrahim yang hanya mampu melihat rembatan dari jarak 50 meter itu.
Kekalutan di depan pintu gol tuan rumah dimanfaatkan penyerang import Melaka Telekom, Chaswe Nsofwa untuk menanduk masuk bola ke gawang untuk menambah mata.
Minit terakhir perlawanan, Bambang melakukan hatrik apabila merembat bola lantun yang terkena palang gol hasil percubaan pemain gantian Muhammad Khalid Jamlus.