09.03.06
Selangor 7 Tentera 0 (Piala Presiden)
Oleh: misai117
SKUAD Piala Presiden Selangor mencatatkan kemenangan terbesar musim ini selepas menewaskan Tentera 7-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi (Khamis).
Pesta gol tuan rumah dimulakan oleh Sritharan yang menanduk masuk sepakan penjuru Fazlidin pada minit ke-20.
Minit ke-25, giliran Abdul Hadi menambah jaringan selepas menyudahkan hantaran leret dari Sritharan.
Tamat babak pertama, Selangor mendahului 2-0.
Selangor terus selesa pada minit ke-60 apabila umpanan Azraruddin berjaya disudahkan dengan baik oleh Sritharan.
Selepas jaringan ketiga itu, jurulatih Selangor, Talib Sulaiman mengeluarkan Abdul Hadi dan Fazilidin bagi memberi peluang kepada Choi Woh Seng dan M.Naveen beraksi.
Minit ke-65, Selangor terus mengganas apabila menambah gol keempat menerusi jaringan Zulbadly, hasil hantaran leret Amirul.
Selangor terpaksa mengeluarkan ketua pasukan, Ghani yang tercedera dan memasukkan Fairuz Aziz pada minit ke-70.
Seminit kemudian, gol kelima menyusul apabila Fairuz membuat hantaran jauh mencari Choi Woh Seng yang kemudiannya melepasi perangkap offside dan mudah menewaskan penjaga gol lawan.
Amirul Hadi melengkapkan malam gemilang Selangor apabila menjaringkan gol keenam dan ketujuh Selangor pada minit ke-87 dan 90.
Selangor hanya meletakkan penjaga gol simpanan, Syamil dalam kesebelasan utama sementara penjaga gol utama, Syed Adney hanya diletakkan di bangku simpanan kerana baru pulang dari menjalani latihan pusat bersama skuad bawah 23 tahun kebangsaan.
Sementara itu, skuad bawah 19 tahun Selangor akan menentang Sekolah Sukan Bukit Jalil di Padang PKNS, Kelana Jaya jam 4.45 petang esok (Jumaat) untuk perlawanan Liga Belia.
SELANGOR:
21-MOHD SYAMIL BAHARUDDIN, 3-ABDUL GHANI ABDUL RAHMAN (6-MOHD FAIRUZ ABDUL AZIZ), 4-MOHD NASRIQ BAHAROM, 5-MOHD AIZULRIDZWAN RAZALI, 24-FAHRUL NIZWAN AB NASIR, 7-ZULBADLY ISMAIL, 8-MOHD FAZILIDIN KHALID (2-M.NAVEEN), 23-MOHD AZRARUDDIN OMAR, 25-MOHD AMIRUL HADI ZAINAL, 19-S.SRITHARAN, 20-ABDUL HADI YAHYA (10-CHOI WOH SENG)