Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
11.04.06

Piala AFC pertahan maruah

Oleh: Berita Harian

SELEPAS menyaksikan harapan mereka terkubur dalam Liga Super serta kehilangan Piala FA, Selangor kini memandang pertemuan Piala AFC di tempat sendiri malam ini menentang Happy Valley, Hong Kong sebagai peluang realistik untuk menyelamatkan musim mereka.

Persembahan megah Merah Kuning dalam kejohanan rantau Asia itu menyaksikan mereka mengumpul enam mata daripada dua perlawanan untuk menghuni tempat pertama Kumpulan F yang tidak mencerminkan aksi lesu mereka dalam liga utama negara yang melihat mereka menghuni tempat tercorot yang membawa tiket diturunkan ke Liga Perdana musim depan.

Dengan Piala AFC dan Piala Malaysia menjadi pertaruhan yang tinggal bagi mengembalikan maruah mereka, jurulatih Selangor, Dollah Salleh dan barisan pemainnya akan menumpukan sepenuh usaha malam ini dengan mengetahui tiga mata penuh akan memastikan kelayakan ke pusingan seterusnya sebagai juara kumpulan.

“Selangor kini menghadapi kesukaran dalam liga ditambah dengan penyingkiran dalam Piala FA menyebabkan kami menumpukan sepenuh usaha di Piala AFC.

“Kami akan berjuang bersungguh-sungguh malam esok (malam ini) dalam usaha merangkul piala tersebut,” katanya pada sidang media bersama rakan sejawatnya dari Happy Valley di Wisma FAS semalam.

Namun perancangan Dollah pada pertemuan penting ini sedikit terjejas dengan ketiadaan pemain sayap kanan, Elie Aiboy dari Indonesia akibat kecederaan.

Rakan sejawatnya, Michael K W Sek, juga laparkan tiga mata penuh itu bagi kelab itu yang kini menghuni tempat kedua, menjarakkan diri dari buruan Tampines Rovers (Singapura) dalam memburu slot kedua ke pusingan seterusnya.

Selangor seharusnya tidak memandang rendah kemampuan Happy Valley yang sudah mengesahkan gelaran liga HK musim ini, buat kali keenam dalam sejarah mereka dengan berpeluang meraih gelaran berganda selepas melayakkan diri ke final Piala FA menentang Sun Hei, Ahad ini.

Kelab itu yang menampilkan hampir keseluruhan pemain kebangsaan digerakkan oleh empat pemain import – penjaring terbanyak Liga HK dari Brazil dengan 14 gol, Fabio Lopez Alcantara, rakan senegaranya di tengah, Clodoaldo Oliviera, pemain Cameroon yang mengambil kewarganegaraan Hong Kong, Ambassa Guy Gerard serta pemain Nigeria Ezeh Barnes Colly.

Setakat ini, Selangor sudah menundukkan Tampines Rovers 1-0, Hurriyah 3-1 manakala Happy Valley membenam Hurriyah 3-0 dengan terpaksa akur 3-1 kepada Tampines Rovers.