15.04.06
Selangor 3 MPPJ 2 (Liga Super)
Oleh: pippo

Selangor menghidupkan saki-baki peluang untuk memperbaiki kedudukan dalam Liga Super apabila membenam cabaran MPPJ 3-2 di Stadium Bukit Jalil malam ini. Wira pasukan Selangor pastinya pemain gantian, S Sritharan yang mempamerkan aksi bertenaga dan terlibat dalam ketiga-tiga gol jaringan Gergasi Merah dalam perlawanan ini.
Hujan lebat yang turun sejak dari pukul 7 dan hanya berhenti kira-kira 1 jam sebelum perlawanan seolah-olah mengancam untuk merencatkan aksi perlawanan yang bakal berlangsung namun tindakan pantas pihak pengurusan stadium yang menggunakan mesin penyedut air di samping sistem pengaliran berkesan berjaya menjadikan permukaan padang tidak seburuk yang dibimbangkan.
Tanpa D Surendran yang digantung kerana mengutip tiga kad kuning; Amri Yahyah dan Shukor Adan yang tercedera dan Elie Aiboy yang kurang cergas, jurulatih Selangor Dollah Salleh terpaksa melakukan sedikit pertukaran dengan menurunkan Fadhil Hashim di bahagian sayap kiri dan Razman Roslan digandingkan di barisan tengah bersama kapten K Sanbagamaran. Cheikh Ba menjadi pilihan pemain import ketiga skuad Gergasi Merah.
Pasukan pelawat MPPJ terlebih dahulu menguasai perlawanan hasil kawalan longgar dari barisan tengah terutama dari Razman yang jelas kekok beraksi di posisi yang asing baginya itu. Hasil dari kesilapan P Gunalan yang gagal mengawal kemas bola di bahagian kiri pintu gol Selangor, pemain sayap MPPJ Liew Kit Kong pantas menghukum dengan melorongkan bola kepada Chow Chee Weng yang tidak dikawal mempunyai tugas mudah menolak ke dalam pintu gol Selangor menewaskan Jamsari Sabian seawal minit ke 6.
Gol tersebut sebaliknya tidak menaikkan semangat pasukan tuan rumah yang mempamerkan aksi longlai yang jelas merimaskan kira-kira 2,000 orang penyokong setia. Hantaran kurang menjadi Fadhil, kekerapan K Rajan kehilangan bola dan kegagalan barisan tengah untuk mencipta sebarang peluang untuk penyerang Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes tampak menyerlahkan kepincangan barisan Selangor. Mujur MPPJ juga tiada bezanya walaupun sekali-sekala mengancam kubu Selangor dengan serangan balas pantas.
Separuh masa pertama berakhir dengan MPPJ masih mendahului. Persembahan hambar Selangor menaikkan kemarahan penonton yang rata-ratanya meredah hujan bagi memberikan sokongan kepada pasukan mereka. Tidak hairanlah apabila barisan pemain dan pegawai yang menuju ke bilik persalinan menerima cacian dan ejekan sebahagian dari penonton.
Segala-galanya berubah sebaik sahaja wisel separuh masa kedua dimulakan. Sepertimana perlawanan Piala AFC menentang Happy Valley Selasa lalu, skuad Merah Kuning mempamerkan aksi lebih bertenaga selepas rehat dan mula mengancam kubu MPPJ beberapa kali. Namun kombinasi aksi penyudah yang lemah dan kekebalan benteng pasukan pelawat menidakkan gol penyamaan.
Minit ke 65, Dollah Salleh mengambil keputusan menggantikan K Rajan yang langsung tidak efektif dengan penyerang lincah Piala Presiden S Sritharan. Kehadiran Sritharan yang kerap beralih posisi di kiri dan kanan pintu gol MPPJ jelas merimaskan barisan pertahanan lawan yang mula goyah.
Hasilnya pada minit ke 72 Selangor memperolehi sepakan penalti apabila Bambang dijatuhkan. Peluang itu diperolehi setelah hantaran Sritharan bijak menemui Bambang yang tidak dikawal. Brian Fuentes mudah menjaringkan sepakan penalti tersebut.
Gol tersebut membakar semangat Selangor. Hanya 2 minit berlalu apabila Wan Rohaimi memperdayakan dua pemain pertahanan lawan sebelum melintangkan hantaran kepada Sritharan yang menggunakan ketinggiannya untuk menanduk masuk menewaskan penjaga gol MPPJ, Faizal Rashid untuk menjadikan kedudukan 2-1.
Seperti lazimnya setelah mendahului, skuad Gergasi Merah sedikit leka dan minit ke 78, hantaran lintang pemain MPPJ Fauzi Nan menemui Juan Arostegui yang menanduk lemah ke arah gol namun sudah cukup mengelirukan Jamsari untuk gol penyamaan MPPJ.
Namun Sritharan meneruskan aksi cemerlangnya malam ini. Menerima bola di sebelah kanan pintu gol MPPJ, beliau melarikan bola ke tengah sebelum menghantar kepada Bambang yang disangkakan offiside. Bambang dengan mudah memperdayakan Faizal sebelum menolak masuk ke dalam pintu gol yang ternganga untuk kedudukan 3-2.
Sritharan hampir melengkapkan malam cemerlang untuk dirinya untuk gol keempat namun sepakannya setelah merebut bola 50-50 dengan pertahanan MPPJ gagal menemui sasaran.
Keputusan akhir, Selangor 3 MPPJ 2.
SELANGOR: Jamsari Sabian, Wan Rohaimi Ismail, Cheikh Ba, Saifunizam Husin (Ahmad Tharmini), P Gunalan, Fadhil Hashim, Razman Roslan (Fairuz Montana Zainal Abidin), K Sanbagamaran, K Rajan (S Sritharan), Brian Fuentes, Bambang Pamungkas.