11.04.06
Selangor 4 Happy Valley 3 (Piala AFC)
Oleh: pippo

PENYERANG dari Argentina, Brian Fuentes menjaringkan dua gol bagi membantu Selangor menewaskan Happy valley dari Hong Kong 4-3 untuk mencatatkan kemenangan ketiga berturut-turut skuad Merah Kuning dalam Piala AFC.
Kemenangan ini mengukuhkan kedudukan Selangor di tangga teratas Kumpulan F dengan 9 mata, 3 mata mengatasi Tampines Rovers yang menewaskan Hurriya FC dalam satu lagi perlawanan malam ini.
Namun Selangor bermula dengan kurang meyakinkan dengan mempamerkan aksi longlai dan memberi banyak ruang kepada pasukan pelawat. Tidak hairan apabila Happy Valley mendahului seawal minit ke 14 menerusi Joao Fantin.
Gol pendahuluan itu seolah-olah mengejutkan Selangor dari lamunan dan mula memperkemaskan aksi. Hasilnya ketua pasukan, Shukor Adan menanduk masuk bola sepakan sudut Elie Aiboy untuk gol penyamaan tiga minit sebelum rehat.
Sebaik babak kedua bermula, Selangor memperolehi sepakan percuma di bahagian kanan pintu gol Happy Valley pada minit ke 52. D Surendran yang mengambil sepakan percuma itu melencongkan bola melepasi penjaga gol lawan yang terkeliru kerana menyangkakan pemain pertahanan kanan Selangor itu akan membuat hantaran.
Tidak cukup dengan itu, Selangor terus melncarkan serangan demi serangan bagi memburu tambahan jaringan. Hasilnya pada minit ke 64, Brian Fuentes bijak memperdayakan pertahanan lawan dengan tandukan cantik hasil hantaran lintang Elie Aiboy untuk menjadikan kedudukan 3-1.
Seperti lazimnya, setelah mendahului selesa Selangor mula bermain secara cuai dan hasilnya pada minit ke 68 Happy Valley dihadiahkan sepakan penalti setelah bola terkena tangan seorang pemain pertahanan Selangor. Fabio Alacantra mudah menyempurnakan sepakan itu bagi merapatkan jurang kepada 3-2.
Amat malang bagi Happy Valley yang baru sahaja mengimpikan peluang untuk mencuri satu mata apabila Brian Fuentes menghukum barisan pertahanan pasukan pelawat yang ghairah mencari gol penyamaan dengan gol ke 4 pada minit ke 71.
Namun, Happy Valley yang baru sahaja ditabalkan juara liga Hong Kong dan memasuki perlawanan akhir Piala FA minggu lalu tidak berputus asa sebelum berjaya sekali lagi merapatkan jurang hasil jaringan Lee Wai-man. Selangor bagaimanapun berjaya bertahan untuk kemenangan 4-3.
Selangor akan bertandang ke Hong Kong pada 25 April ini untuk sekali lagi menentang Happy Valley di pusingan kedua kumpulan.
Selangor: Jamsari Sabian, Wan Rohaimi Ismail, Ahmad Tharmini Saiban, Saifu Nizam Hussin, D Surendran, Shukor Adan (Amri Yahyah) (Fairuz Montana), Elie Aiboy (K Rajan), K Sanbagamaran, P Gunalan, Brian Fuentes, Bambang Pamungkas.