08.04.06
Selangor pancing bekas penyerang Real
Oleh: Harian Metro
PRESTASI merudum yang menimpa Selangor pada musim ini dengan kedudukan terkini dalam Liga Super menyaksikan impian mempertahankan Piala Malaysia begitu tipis menyebabkan pengurusan skuad Merah Kuning itu berusaha memancing bekas penyerang Real Madrid, bagi menghidupkan sisa-sisa perjuangan itu.
Bagi merealisasikan impian mereka itu, pengurusan Selangor perlu bertindak pantas bagi memastikan impian mereka tidak terkubur mendapatkan seorang ‘penyelamat’ dalam masa terdekat .
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd Amin, berkata penyerang berusia 29 tahun itu pernah mewakili Real Madrid bagi musim 1999 hingga 2002.
“Dia adalah penyerang dari Serbia & Montenegro dan kini beraksi dengan sebuah kelab di Ukraine serta pernah mewakili sebuah kelab di negaranya,” katanya, semalam.
Hamidin berkata, proses mendapatkan penyerang itu kini berjalan lancar tetapi jumlah wang yang perlu dihulurkan bagi mendapatkan khidmatnya belum ditetapkan lagi.
“Kita hanya mengadakan perbincangan dengan ejen pemain itu berkaitan beberapa aspek tetapi ia tidak termasuk soal pembayaran kepada penyerang berkenaan.
“Kita juga sudah memaklumkan kepadanya mengenai harapan Selangor mendapatkan penyerang terbaik bagi membantu pasukan ini kekal dalam Liga Super musim depan serta layak beraksi dalam Piala Malaysia dan seterusnya mempertahankan piala itu buat musim kedua berturut-turut.
“Jika semuanya selesai, kita berharap dapat menggunakan khidmat penyerang ini secepat mungkin bagi memastikan kedudukan Selangor bertambah baik selepas ini,” katanya.
Kuota import skuad Merah Kuning itu kini sudah penuh diisi penyerang import dari Indonesia, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy, penyerang dari Argentina, Brian Fuentes dan pertahanan tengah dari Senegal, Cheikh Ba.
Kemerosotan Selangor musim ini begitu buruk sekali apabila terperosok di tangga terbawah Liga Super dengan hanya mengutip 13 mata hasil empat kemenangan dan satu seri, daripada 15 perlawanan.
Dengan hanya baki enam perlawanan termasuk menentang Pahang di Stadium Darulmakmur, Kuantan, malam ini, skuad bimbingan jurulatih Dollah salleh itu tidak mempunyai pilihan selain berhempas-pulas mencipta kemenangan.
Bagaimanapun, skuad tuan rumah turut mengintai kemenangan apabila berada di kedudukan keenam liga dengan 18 mata, tiga mata di depan pasukan di tangga ketujuh liga, Perlis, yang mengutip 15 mata.