Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
16.05.06

Aksi terakhir Fuentes

Oleh: Harian Metro

AKSI menentang kelab Maldives, Hurriya FC, dalam kejohanan Piala AFC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini, menjadi medan terakhir buat penyerang import Selangor dari Argentina, Brian Fuentes, bersama skuad Merah Kuning itu.

Khidmat pemain itu ditamatkan pengurusan bola sepak Selangor selepas mereka mendapatkan bekas bintang Real Madrid, Perica Ognjenovic, dalam usaha mempertahankan Piala Malaysia dan memberi saingan dalam Piala AFC musim ini.

Fuentes beraksi selama empat musim bersama Selangor dengan keseluruhan menjaringkan 82 dalam 79 perlawanan.

Jurulatih Selangor, Dollah Salleh, berkata perlawanan itu amat bermakna buat skuad Merah Kuning itu kerana ia adalah penampilan terakhir Fuentes selepas menabur budi selama empat musim.

“Perlawanan ini bukan semata-mata kerana ia aksi terakhir bersama Selangor tetapi ia juga saingan paling penting bagi memastikan kita mara ke suku akhir sebagai juara Kumpulan F.

“Fuentes adalah sebahagian daripada pasukan ini yang berjaya membantu Selangor mara ke suku akhir kejohanan ini berdasarkan kedudukan di tempat kedua dengan 12 mata di belakang Tampines United dari Singapura.

“Tetapi, kita mahu Fuentes membantu kita buat kali terakhir untuk menang dalam saingan malam esok (malam ini) dengan jumlah jaringan besar untuk kita muncul juara kumpulan dan mara ke suku akhir secara mutlak,” katanya.

Selepas mengharungi perlawanan menentang Telekom Melaka, sabtu, lalu dengan 11 pemain dibelenggu kecederaan, Selangor akan beraksi malam ini, juga dengan senarai kecederaan yang panjang.

“Pemain pertahanan iaitu Nazrulerwan Makmor, penyerang Khalid Jamlus dan Elie Aiboy, bakal tersisih akibat kecederaan dan kurang cergas, manakala dua penjaga gol utama iaitu Jamsari Sabian dan Shahrizan Ismail juga berdepan masalah sama,” katanya.