27.05.06
Dollah manfaat peluang kedua
Oleh: Harian Metro

Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memperkenalkan format baru bagi Liga M memberi harapan kepada Selangor dan Pahang untuk kekal dalam Liga Super musim depan.
Pahang dan Selangor, yang masing-masing menduduki tempat kedua terakhir dan terakhir dalam jadual Liga Super, boleh mengekalkan tempat dalam Liga Super sekiranya mereka dapat mencapai kedudukan enam pasukan teratas dalam playoff yang melibatkan enam lagi pasukan dari Liga Premier.
Di bawah format baru itu, Liga Super dan Liga Premier terdiri daripada 14 pasukan dalam setiap pertandingan.
Playoff yang akan diadakan di tempat sendiri dan di tempat lawan bermula 13 Jun ini akan menampilkan Pahang, Selangor dan tiga pasukan masing-masing daripada Kumpulan A dan B yang menduduki tempat kedua, ketiga dan keempat dalam Liga Premier.
Daripada lapan pasukan yang terbabit dalam playoff, enam akan menyertai lapan pasukan yang telahpun menempatkan diri dalam Liga Super berdasarkan merit, iaitu Negeri Sembilan sebagai juara Liga Super, Telekom Melaka, Perak, Pulau Pinang, Perlis dan MPPJ, manakala pemenang Kumpulan A Liga Premier Melaka dan pemenang Kumpulan B Kedah menyertai mereka.
Semua 14 pasukan Liga Perdana akan terdiri daripada baki 10 pasukan yang bermain dalam Liga M musim ini ditambah empat pasukan lagi daripada pertandingan Piala FAM.
Jurulatih Selangor Dollah Salleh berkata sejak diberi peluang kedua ini, pasukannya tidak akan melepaskan peluang itu.
“Kami menghadapi masalah iaitu beberapa pemain utama mengalami kecederaan sepanjang kempen tetapi tempoh berehat dua minggu sebelum playoff akan memberi kesempatan baik kepada pemain untuk pulih daripada kecederaan.
“Saya juga gembira kerana Elie Aiboy akan beraksi semula selepas rehat yang panjang akibat kecederaan. Sepanjang ketiadaannya terdapat kekosongan di rusuk kanan,” katanya.
Selangor yang meraih tiga gelaran juara musim lalu dengan memenangi Liga Premier, Piala FA dan Piala Malaysia, bertukar nasib dan berakhir dengan menduduki tangga terakhir Liga Super.
Dollah berkata setelah berehat seminggu, pasukannya akan mula berlatih Isnin ini.