Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
28.05.06

Fuentes berlepas pulang ke Argentina

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar

 

"MESKIPUN anda semua tidak dapat berjumpa saya lagi, tetapi kita masih boleh berhubung menerusi emel. Senang-senang, emel saja ke pilbri@yahoo.com.ar."

Itulah kata-kata terakhir bekas pemain import Selangor, Brian Diego Fuentes buat para peminatnya terutama penyokong-penyokong Merah Kuning sebelum meninggalkan Malaysia awal pagi tadi.

Fuentes, 30, yang ditamatkan kontraknya oleh Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) pertengahan bulan ini terpaksa menangguhkan kepulangannya ke Argentina hampir dua minggu ekoran masalah wang pampasan yang belum selesai.

"Mujur FAS akhirnya bayar pampasan seperti yang termaktub dalam kontrak. Walaupun ada sedikit lagi 'hutang' lama, tak mengapalah. Asalkan dapat daripada tak dapat langsung," kata Fuentes berseloroh ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dua jam sebelum pesawatnya berlepas.

Fuentes dan isteri pulang ke Buenos Aires dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines. Penerbangan yang memakan masa 25 jam itu akan singgah di Johannesburg dan Cape Town sebelum tiba di negara kelahirannya.

Namun, seperti ada yang tidak kena apabila tiada seorang pun pegawai FAS dan pemain-pemain Selangor yang kelihatan hadir memberikan penghormatan terakhir buat Fuentes di KLIA malam tadi.

"Entahlah, mungkin mereka semua sibuk dengan urusan masing-masing. Biasalah, ketika di atas kita dipuja, ketika di bawah tiada siapa yang pandang," ujar beliau sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Menurut Fuentes, mujur rakan senegaranya yang juga pemain import MPPJ, Juan Manuel Arostegui sudi menghantarnya dan isteri ke KLIA.

"Selain Arostegui, saya terkejut kerana apabila tiba di KLIA saya lihat hampir sepuluh peminat setia dari komuniti penyokong Selangorfc.com sudi menghantar saya pulang," katanya yang terharu dengan sokongan yang diterimanya sepanjang dua setengah tahun bersama Selangor.

Ditanya mengenai perancangan beliau selepas ini, Fuentes berkata, selepas ini dia akan menetap di Banfield iaitu sebuah kawasan yang terletak kira-kira 14 kilometer di selatan Buenos Aires.

"Selepas tamat Piala Dunia, musim baru bolasepak Eropah dan Amerika Latin akan bermula. Saya akan mencuba nasib di sana pula," ujarnya.

Fuentes juga tidak menolak kemungkinan untuk kembali mewarnai kancah bola sepak Malaysia selepas tamat tempoh 'idah' selama setahun seperti yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Mungkin saya akan kembali sebagai pemain dan mungkin juga sebagai seorang jurulatih," katanya yang yakin masih mampu untuk beraksi dalam tempoh empat tahun lagi.

Fuentes tiba di Selangor pada Disember 2003 bersama-sama trio Argentina iaitu Aldo Andes Mores, Miguel Angel Gonzales dan Diego Cepeda serta bekas pengarah kejurulatihan Boca Juniors Ruben Omar Larossa.

Namun, hanya beliau yang kekal bersama Selangor lantas muncul penjaring terbanyak Liga Perdana pada 2004 dan berjaya mengumpul sebanyak 84 gol sepanjang beraksi bersama pasukan Selangor.

"Terima kasih kepada semua. Setiap gol yang pernah saya jaringan, saya hadiahkan kepada semua penyokong Selangor. Cukup sekadar anda mengingati bahawa saya pernah menjadi pemain Selangor," ujarnya yang kini bolehlah dianggap sebagai salah seorang pemain import lagenda Selangor.