15.05.06
Hanya Piala AFC jadi penawar
Oleh: Harian Metro
HANYA saingan Piala AFC yang mampu dibanggakan Selangor musim ini selepas tersingkir daripada pertarungan Piala FA dan berada di kedudukan terbawah Liga Super musim ini.
Hanya itu saja yang mampu dipertahankan skuad kendalian Dollah Salleh dan kerana itu, dia mahu memastikan pemainnya menjaringkan seberapa banyak gol dalam pertemuan terakhir menentang kelab Maldives, Hurriya FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok, bagi memastikan Selangor menduduki tangga teratas Kumpulan F.
Biarpun mengumpul 12 mata daripada lima perlawanan, skuad Merah Kuning itu hanya mampu berada di tangga kedua selepas Tampines Rovers dari Singapura, yang turut mengutip mata sama, mengatasi mereka dengan perbezaan empat jaringan.
Dollah berkata, dia tidak mahu mengharapkan sebarang keputusan pertemuan antara Tampines Rovers menentang Happy Valley di Stadium Mongkok, Hong Kong, menjadi penentu kepada nasib pasukannya untuk melangkah ke pusingan suku akhir dengan lebih selesa.
“Matlamat kita ialah menjuarai kumpulan ini. Sebab itu, kita mesti menjaringkan sekurang-kurangnya lima gol apabila berdepan Hurriya FC malam esok,” katanya.
Dalam pertemuan di pusingan pertama di Maldives, Selangor membenam Hurriya FC 3-1, manakala Tampines Rovers juga menumbangkan Happy Valley dengan jumlah jaringan sama.
Katanya, aksi di tempat sendiri menjadi kelebihan Selangor untuk mencapai matlamat itu, manakala Tampines Rovers pula akan beraksi di gelanggang lawan.
“Faktor ini akan menjadi pembakar semangat kepada barisan pemain Selangor dan saya yakin kita mampu mencatat kemenangan dalam perlawanan ini dengan jumlah jaringan besar,” katanya.
Dollah berkata, hanya jaringan besar saja yang akan mengesahkan Selangor selaku juara Kumpulan F mengatasi Tampines Rovers dan sekaligus mara ke suku akhir dengan rasminya.
“Biarpun kedudukan sekarang iaitu di tangga kedua dengan 12 mata, melebihi jumlah kutipan pasukan dalam kumpulan lain, tetapi kita tidak mahu mengambil risiko itu.
“Kita mahu menang dengan jumlah jaringan yang besar dan mara ke suku akhir kejohanan ini selaku juara kumpulan,” katanya.
Dalam kejohanan yang dibahagi kepada enam kumpulan itu, setiap pasukan teratas mara secara automatik ke suku akhir, manakala dua pasukan di tangga kedua yang mengumpul mata terbanyak juga bakal beraksi di pusingan kalah mati itu.
Dollah berkata, hanya Piala AFC ini saja yang menjadi medan perjuangan seterusnya bagi Selangor dan peluang itu tidak boleh dilepaskan begitu saja.
“Selepas gagal mempertahankan Piala FA dan perlu beraksi di pusingan penentuan untuk beraksi di Liga Super musim depan, hanya kejohanan ini yang mampu menjadi penawar kepada pasukan ini.
“Jadi, kita akan memberi tumpuan lebih serius dalam kejohanan ini bagi mencatat sejarah sebagai pasukan pertama mara ke suku akhir dari negara ini,”